Kemuka laporan penuh Bandar Malaysia

- Advertisement -

EKORAN pengambilalihan sepenuhnya TRX City Sdn Bhd oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak pihak kerajaan mengemukakan laporan penuh projek Bandar Malaysia kepada rakyat.

- Advertisement -

Sebelum ini, projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia telah banyak terpalit pelbagai kontroversi terutama yang melibatkan 1MDB. Oleh kerana itu, laporan tersebut wajar dikemukakan kerana ia melibatkan pertimbangan peruntukan dana kewangan yang besar oleh kerajaan (rakyat).

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kumulatif projek tersebut dianggarkan kira-kira RM150 bilion dan sekarang kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas projek tersebut walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi negara yang dijangka akan berterusan sehingga tahun 2018. Lebih membimbangkan sekiranya kerajaan menggunakan dana-dana rakyat seperti KWSP dan lain-lain syarikat berkaitan kerajaan untuk membangunkan projek berkenaan. Apakah sebenarnya rancangan kerajaan dan manfaat yang akan diraih oleh rakyat dalam projek tersebut?

Laporan tersebut juga adalah perlu kerana ia melibatkan pembatalan mengejutkan urusniaga projek pembangunan Bandar Malaysia bersama IWH CREC Sdn Bhd (ICSB) baru-baru ini. Pembatalan tersebut didakwa kerana kegagalan konsortium ICSB mematuhi obligasi pembayaran di bawah The Share Sale Agreement (SSA).

Walau bagaimanapun, ICSB telah menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa semua pembayaran telah dijelaskan sepertimana yang diperuntukkan dalam SSA. Apakah sebenarnya situasi pembayaran tersebut? Adakah terdapat bukti yang boleh dilampirkan?

Oleh kerana itu, DPPWP tampil mendesak pihak kerajaan untuk mengemukakan laporan penuh projek-projek TRX dan khususnya Bandar Malaysia kerana ia melibatkan pelbagai pertimbangan politik dan ekonomi. Rakyat tidak mahu projek ini menjadi projek gajah putih dan mengorbankan berbilion dana rakyat.

Mohd Farkhan Md Zin
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
12 Sya’ban 1438 | 9 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 9/5/2017

- Advertisement -