Batalkan arahan SPR berkenaan edaran RDPT

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada kenyataan SPR yang dikeluarkan pada 29 April 2017 (link : http://www1.bharian.com.my/node/277294), bahawa SPR akan menghentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik semasa pameran RDPT dijalankan.

- Advertisement -

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah tindakan ini yang menyekat kebebasan mengakses maklumat berkaitan RDPT. Malah tindakan ini juga mengabaikan tanggungjawab SPR di bawah Seksyen 15 (2)(l) Akta Pilihanraya 1958 yang memerlukan SPR untuk  “membenarkan atau mengkehendaki pendaftar membekali mana mana orang sebagaimana yang ditetapkan dengan salinan mana mana daftar pemilih atau mana mana bahagiannya, samada dengan percuma atau dengan membayar apa apa fi sebagaimana yang ditetapkan dalam peratuan-peraturan itu”.

SPR sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi menerusi pilihan raya bebas dan adil, perlu bersikap professional dengan memudahkan urusan semua pihak terutamanya pemilih dan parti parti politik.

Bagi parti parti politik, pengedaran RDPT yang dikeluarkan oleh SPR adalah sangat penting untuk memastikan daftar pemilih bebas dari sebarang perkara yang meragukan. Namun tindakan baru SPR, menyusahkan poses semakan ini.

DPPM mendesak SPR menarik balik arahan terbaru itu dan kembali kepada kaedah lama dengan mengedarkan RDPT. Kami juga mencadangkan agar SPR menyahut seruan Kerajaan Malaysia yang mahu mewujudkan “Kerajaan Elektronik” dengan memuatnaik RDPT di laman sesawang SPR dan boleh dimuat turun oleh pihak yang berkepentingan. Ia sekali gus menjimatkan kos SPR untuk menyediakan cakera padat RDPT, menjimatkan kos parti politik yang terpaksa membeli cakera padat RDPT tersebut dan menjimatkan masa petugas SPR dalam proses penyediaan cakera padar RDPT sehingga pengedarannya.

“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”

Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/5/2017

- Advertisement -