Kita pemain pro

- Advertisement -

DALAM satu pasukan bola dengan 25 pemain, biasa pemain digilirkan berdasarkan keperluan sesuatu perlawanan. Tak semua 25 pemain akan masuk padang kerana peraturan membenarkan hanya 11 pemain sahaja perlu berada dalam padang pada satu-satu masa. Tak ada pemain yang menjadi pemain utama untuk sepanjang musim dalam semua perlawanan. Pertukaran posisi juga biasa. Ada ketikanya seorang midfield akan ambil tugas striker. Seorang pemain bertaraf profesional tak akan merajuk jika tak diturunkan oleh jurulatih. Bila masing-masing bersikap profesional demi kejayaan pasukan, pastinya keharmonian dalam pasukan akan dapat dikekalkan.

- Advertisement -

Ahli PAS berdaftar sekarang ada 890,000 lebih selepas pembersihan. Tentu sekali peranan dan posisi boleh diubah dan ditukar serta digilirkan demi kepentingan parti. Tak ada apa yang anehnya bila ada pemimpin yang masuk dan keluar serta ditukar posisi kerana perjuangan ini bukannya bersifat statik. Apatah lagi bila sifat perjuangan Islam adalah saling sambung-menyambung.  

Saya yakin orang PAS sudah cukup profesional dalam hal ini. Kalau pun ada sedikit sebanyak persoalan yang diajukan berkaitan susunan kepimpinan baru PAS Pusat, ia hanya bermaksud untuk pencerahan dan bukannya bantahan. Yang menyibuk hal urusan pasukan kita ialah mereka yang berada di luar pasukan dalam team lawan dan ahli kelab penyokong team lawan. Padahal team mereka sendiri lintang-pukang. Pemain yang ada masih berfikir setaraf amatur dalam liga kampung. Bila jurulatih tak senaraikan dalam kesebelasan utama, mereka rancang belot dengan team sendiri! Dalam padang bergocoh sesama sendiri. Itu pun masih nak menyibuk hal urusan team orang lain.

Pelbagai respons dan maklum balas yang diterima terhadap susunan baru kabinet PAS Pusat, anggaplah ia lumrah biasa. Sesuatu yang baru akan mengundang perhatian khalayak. Apatah lagi sekarang ini PAS berada di kedudukan terhormat di persada politik tanah air. Ramai orang yang minat nak bercakap dan berkomentar tentang PAS.

Tapi bukan semua kita perlu layan belaka. Cadangan dan komen yang membina ke arah kebaikan, ada alasan untuk kita ambil perhatian. Manakala komen murahan bernada provokasi, biarkan ia berlalu bersama tiupan angin lalu akhirnya hilang tanpa kesan. Kita tak boleh tutup mulut manusia. Biarkan mereka bercakap, tapi bukan semestinya kita perlu dengar kesemuanya.

Siap siaga dan ambillah posisi untuk bekerja. Jaga pangkalan masing-masing supaya jangan diperkotak-katik oleh musuh. Kurangkan bercakap, banyakkan kerja. Posting murahan di alam maya, biarlah dilayan oleh mereka yang berkenaan sahaja. Pimpinan wajib fokus buat kerja. – HARAKAHDAILY 8/5/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

- Advertisement -