Malam Ribat 3.0: Rapatkan saf, simpulkan ukhuwwah

- Advertisement -

JABATAN Amal Malaysia Negeri Selangor malam tadi meraikan petugas-petugas anggota Amal ke Muktamar Tahunan PAS ke-63 baru-baru ini di dalam program Malam Ribat Amal 3.0 yang bertempat di Darul Mujahiddin, Bt 9 Teluk Panglima Garang.

- Advertisement -

Program kali ini dihadiri lebih 300 peserta yang terdiri dari pelbagai peringkat umur dari semua peringkat Amal kawasan-kawasan di Negeri Selangor.

Pertemuan malam tadi turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang memberikan kuliah atau taujihat kepada anggota selepas solat maghrib dan beliau turut mengimamkan solat Isya sebelum bersama dengan anggota menikmati juadah yang disediakan.

Ustaz Khalil dalam kuliah beliau menasihati anggota Amal perlu bersabar dan terus bersabar dalam menjalankan setiap tugasan yang diberikan dan perlu sentiasa beringat bahawa setiap gerak kerja adalah semata-mata menunaikan ketaatan kepada Allah SWT. Sebab itu moto Jabatan Amal adalah “Beramal Kerana Allah”.

Sabar yang turut dalam melakukan ketaatan sesama anggota dan perlu menjaga “Solat Berjemaah” katanya. Tambah beliau, bencana yang berlaku baru-baru ini juga adalah ujian bagi anggota Jabatan Amal yang mana sebahagian kita dapat menyaksikan betapa ujian yang Allah datangkan tidak kira siapa dan di mana.

Hasil pengalaman dan kepakaran dalam mengurus bencana sebelum ini menjadikan anggota Jabatan Amal sentiasa bersiap siaga walaupun ada di kalangan mereka yang sendiri tercedera. Namun tidak sedikitpun melunturkan rasa keseronokan beramal walaupun dalam keadaan basah.

Malam Ribat 3.0 kali ini turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim dan Exco-exco DPPNS yang turut berucap dalam sesi usrah bersama anggota Amal pada sesi yang kedua dan turut dihadiri oleh Sdr Nazrie Mohd Aris (Pengarah Jabatan Amal Malaysia), Ustaz Rizuan Rahmat (Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor) dan Ustaz Ramli Sidom (mantan Ketua Pemuda DPPNS).

Seterusnya program disambung keesokannya pagi dengan qiamulalil dan kuliah subuh yang dipimpin oleh jurulatih Unit Tarbiyah dan Dakwah Amal Negeri sebelum semua anggota pulang ke kawasan masing-masing.

- Advertisement -