Gandingan dua doktor gigi jaga kebajikan

- Advertisement -

MUNGKIN buat kali pertama dalam sejarah, dua pimpinan dengan latar belakang kelayakan sama sebagai doktor pergigian diamanahkan menerajui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Sama ada sengaja atau kebetulan, inilah antara kelainan yang ditampilkan susunan kabinet baru PAS Pusat bagi sesi 2017/2019.

- Advertisement -

Penulis dengan latar belakang kelulusan pergigian dari University of Baghdad akan  bergandingan dengan senior lulusan pergigian dari Universiti Malaya, Dr Rosni Adam dalam memikul tanggungjawab bagi merealisasikan agenda kebajikan dan kemasyarakatan PAS dalam rangka untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera bersama Islam. Suatu amanah yang sangat besar.

Walau telah bersedia untuk ditugaskan di mana-mana posisi yang bakal diarahkan oleh Tuan Guru Presiden, tapi sebenarnya hati kecil saya memang berharap untuk berbakti di lapangan kebajikan. Mungkin pengalaman lebih 4 tahun memikul tanggungjawab di Lujnah Kebajikan PAS Terengganu menyebabkan tugas-tugas turun padang melaksanakan rutin kebajikan telah sebati dengan jiwa. Alhamdulillah, saya akhirnya jatuh di lubuk yang saya minati. Kita sedia bergelumang dengan selut dan lumpur demi cita-cita yang besar ini.

Kerja tanpa banyak politiking serta mampu sampai terus ke dasar untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan adalah keistimewaan orang kebajikan. Banyak tembok yang terhalang dapat dipecahkan melalui senjata kebajikan. Jarang kita kena marah atau ditengking herdik kerana nak buat kebajikan. Orang yang tengah muram dan masam boleh senyum kerana kebajikan. Pintu yang tertutup boleh terbuka kerana kebajikan. Orang yang jauh boleh didekatkan dengan kebajikan. Tangan yang longgar genggamannya tika bersalaman boleh dieratkan kerana kebajikan.

Manusia adalah hamba kepada budi. Apabila kita hadir ketika susah, orang akan ingat kita ketika senang. Walau keupayaan kewangan kita tak semewah parti yang berkuasa, tetapi dengan sedikit seni dalam berbuat kerja kebajikan akan mampu untuk meletakkan kita selangkah di hadapan berbanding pesaing kita. Strategi inilah nanti yang akan digarapkan dengan mantap serta memanfaatkan secara optimun setiap sumber yang ada. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis ialah AJK Kerja PAS Pusat.

- Advertisement -