Tahniah buat anggota Bomba

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan tahniah buat semua anggota pasukan Bomba sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia pada hari ini. Bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamat Negara” telah meletakkan pasukan ini sebagai sebuah pasukan yang sangat berjasa kepada rakyat.

- Advertisement -

Di bawah DPPM, Jabatan Amal Malaysia telah menjalinkan hubungan yang agak akrab bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Ilmu yang dicurahkan untuk misi kemanusiaan akan terus dikenang oleh pihak kami. Inisiatif ini wajar diperkasakan dengan lebih baik demi membentuk satu semangat kerja yang tinggi dalam menyalurkan khidmat bakti kepada rakyat. Justeru, saya mengarahkan semua Jabatan Amal Malaysia di setiap peringkat menjalinkan hubungan akrab dengan pasukan anggota Bomba khususnya dalam misi menyelamat.

DPPM mewakili anak-anak muda Malaysia ingin menyampaikan rasa bangga kepada semua anggota pasukan Bomba yang gigih menyumbangkan khidmat bakti kepada rakyat tanpa mengira masa dan ketika.

Bersempena Hari Anggota Bomba 2017, DPPM menyarankan agar pihak kerajaan dapat mengkaji balik elaun dan gaji anggota bomba agar dapat disesuaikan dengan tugas mereka yang kian pelbagai. Apatah lagi, kerja mereka yang mempertaruhkan nyawa dalam melaksanakan misi-misi menyelamat khususnya sewaktu kebakaran.

Semoga semua anggota Bomba di negara ini sentiasa dilimpahkan kesihatan dan mendapat perhatian pihak kerajaan untuk memperkasakan lagi pembelaan dan kebajikan semua anggota.

“MARA MENUJU CITA”
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Mei 2017 | 7 Syaaban 1438 – HARAKAHDAILY 4/5/2017