Mengenali kepimpinan Pemuda PAS 2017/2019

- Advertisement -

“SESUNGGUHNYA Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)

- Advertisement -

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-58 telah melabuhkan tirai dengan penuh gemilang dan warna-warni, di Negeri Kedah Darul Aman, negeri Jelapang Padi.

Muktamar yang berlangsung pada tahun ini mengangkat tema ‘Mara Menuju Cita’, bagi menegaskan kepentingan Pemuda PAS untuk menerajui agenda Penyelesaian Islam, dengan melebarkan Khidmat Bakti dan menjayakan misi Perpaduan Ummah. Alhamdulilah, ianya berlangsung dengan penuh ukhuwwah dan mahabbah, sarat dengan perbahasan yang berinovasi dan mencambah.

Di penghujung muktamar, barisan kepimpinan DPPM bagi sesi 2017-2019 telah dimasyhurkan, hasil kebijaksanaan syura dan budaya demokrasi yang terus disemarakkan. Natijahnya, baton Ketua Pemuda telah berpindah tangan secara penuh tertib dan harmoni, legasi besar YB Ustaz Nik Abduh yang berjaya mengembalikan ketenangan di dalam sayap penting perjuangan ini.

Taklifan Ketua Pemuda kini digalas oleh Ustaz Muhammad Khalil, seorang tokoh ulama muda kelahiran bumi Rusila – berkelulusan BA Syariah (Yaman) dan MA Pengajian Islam (UK) dan kini sedang menyiapkan PhD di UNISZA dalam bidang Islam Kontemporari. Selain tekun menganalisa krisis di pentas antarabangsa, aktiviti memancing dan sukan lasak merupakan kegemaran ‘anak butir’ Tuan Guru Presiden PAS ini, bagi mencari ketenangan di sebalik ribut perjuangan.

Tugas Timbalan Ketua Pemuda disandang oleh seorang teknokrat muda kelahiran Negeri Perak, Ir Hj Khairil Nizam Khairuddin – berkelulusan BSc dan MSc (UTP) dalam bidang kejuruteraan petroleum, dan kini menjadi calon PhD di universiti yang sama, serta memiliki beberapa sijil kepakaran teknikal peringkat nasional dan antarabangsa. Seorang yang sinonim dengan usaha membina jaringan (engagement) dengan semua pihak dan terkenal dengan minatnya dalam bidang permotoran, mantan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan ini adalah satu-satunya pimpinan Pemuda PAS yang pernah berkhidmat di bawah lima orang Ketua Pemuda PAS sejak zaman Sdr Salahudin Ayub.

Tugasan Naib Ketua Pemuda pula disandang oleh seorang tokoh ulama muda kelahiran Negeri Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari – antara graduan terawal Maahad Tahfiz Pulai Chondong dan berkelulusan Ijazah Dakwah (Al-Azhar). Beliau menempa nama sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan (Al-Marhum TGNA), dan kini merupakan Ketua Pemuda PAS Kelantan bagi sesi yang ketiga merangkap Pengarah Urusetia Pembangunan Belia Kelantan.

Taklifan Setiusaha kekal di tangan Ustaz Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden – berkelulusan Ijazah Usuluddin (Al-Azhar) dan Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam (USM) yang kini sedang menyiapkan PhD dalam bidang yang sama di USM. Di samping berkecimpung dalam dunia perniagaan di Pulau Pinang, minatnya kini teralih ke dalam dunia permotoran, dan tanpa segan turut menyarung jersi hijau ARC untuk mengiringi perjalanan pimpinan. Beliau juga merupakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang bagi sesi kedua.

Begitu juga untuk jawatan Bendahari, kekal di tangan Sdr Muhtar Suhaili, seorang jurutera kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa. Anak kelahiran Miri ini merupakan mantan Presiden MPP UIAM, berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekatronik (UIAM) dan Sarjana Teknologi Petroleum (Curtin University). Selain sinonim dengan kerja-kerja kebajikan dan dakwah di Bumi Kenyalang, beliau kerap mengembara ke luar negara di samping aktif berdakwah dalam media maya melalui blog dan facebook yang diikuti ramai.

Di samping itu, tugas Ketua Penerangan digalas oleh YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim – berkelulusan BA Syariah (Al-Azhar). Beliau merupakan mantan Presiden PMRAM dan pernah berkhidmat sebagai Eksekutif Sumber Manusia Petronas, sebelum melepaskan jawatan untuk bertanding pada PRU13 dan memenangi kerusi DUN Tepuh. Manakala jawatan Pengarah Pilihan raya pula disandang oleh Sdr Nurul Islam Mohamad Yusof – berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal (UIAM) dan pernah berkhidmat di beberapa syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur, sebelum bertugas sepenuh masa dalam parti sehingga kini.

Seterusnya, kepelbagaian latarbelakang akademik, kerjaya dan minat yang ada di kalangan EXCO DPPM yang lain juga penuh ‘warna-warni’.

Ustaz Mohd Hafez Sabri berkelulusan BA Pengajian Islam (UM) dan MA Sains Sosial (USM), sering diusik dengan gelaran ‘ustaz selebriti’ di atas usaha dakwah beliau yang tidak pernah jemu, khususnya di bumi Perak. Manakala Sdr Syahir Sulaiman, seorang penganalisis ekonomi di sebuah syarikat konglomerat – berkelulusan Ijazah Ekonomi (UIAM) dan sedang menyiapkan tesis Sarjana Ekonomi Pembangunan di UM, merupakan penerima Anugerah Rektor UIAM. Kedua-duanya merupakan alumni Pasti di era 80-an dan 90-an dahulu.

Seterusnya Ustaz Hazmi Dibok, lulusan tahfiz dan Ijazah Qiraat (Shoubra, Mesir), yang sering menulis dengan madah yang indah. Ketua Pemuda PAS Pahang ini gigih menabur bakti dalam usaha pentarbiahan di dalam dan luar negara, di samping aktif dalam aktiviti dakwah dan kebajikan setempat. Manakala Ustaz Azariza Mohd Alawi, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ust Ja’, lulusan pengajian Islam (Karachi) dan kini aktif berdakwah di pelosok negara, dilihat bakal mewarisi aura penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Sdr Izwan Abdul Halim merupakan wartawan Harakah yang tidak pernah lekang dengan tulisannya yang tajam dan lensa kamera yang cermat. Beliau merupakan graduan UPM dalam bidang Sains Sosial sebelum menyambung pelajaran dalam bidang pengajian Islam di Indonesia. Manakala Sdr Arifiriazul Paijo berkelulusan ijazah teknologi maklumat (UTP) dan pernah berkhidmat di Petronas ICT sebelum melepaskan jawatan bagi bertanding di Dun Lambir. Anak jati berdarah pahlawan Limbang ini merupakan Ketua Pemuda PAS Sarawak bagi sesi keempat.

Antara muka baru yang dipilih kali ini adalah Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin, lulusan Ijazah Syariah (Al-Azhar) yang sempat berguru di beberapa madrasah dan pondok di tanah air. Beliau yang kini merupakan Ketua Pemuda PAS Perak bagi sesi kedua, giat membantu golongan miskin di Perak, khususnya di Parlimen Larut yang ditandinginya pada PRU13 yang lepas. Manakala Sdr Nazman Che Ibrahim, aktivis muda berasal daripada Kelantan, berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal (UTM) yang mula menempa nama dengan aktiviti penerangan dan kebajikan di bumi Cik Siti Wan Kembang.

Begitulah ‘warna-warni’ latarbelakang akademik, kerjaya dan minat yang ada di kalangan pimpinan Pemuda PAS. Ianya bukan sahaja menyerlahkan ketinggian ilmu dan idealisma pelapis kepimpinan PAS, malah membuktikan bahawa golongan ‘lebai muda’ ini tidak kekok untuk bergelumang dalam ruang sosial dan minat anak muda di lapangan.

Insya Allah kabinet penuh DPPM yang akan diumumkan dalam masa terdekat, bakal menjadi gambaran masa depan PAS, sebagai wajah yang akan mencorak masa depan negara yang lebih sejahtera. Potensi yang tinggi di kalangan ulama’, professional dan aktivis muda perlu digilap melalui ketinggian ilmu dan budi, seterusnya menjadi barisan hadapan untuk terus Mara Menuju Cita dan mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 4/5/2017

Penulis adalah Exco DPPM 2017/2019

- Advertisement -