Interaksi Ayah Chik dengan persepsi

- Advertisement -

KADANG-KADANG kita terlalu terikut dengan rentak persepsi ciptaan musuh. Membuatkan tanpa sedar kita telah mengelak dari kebenaran semata-mata atas alasan tidak mahu membuka ruang fitnah. Kita juga telah mengabaikan kepentingan agama, negara dan rakyat apabila memilih jalan populis melebihi kematangan.

- Advertisement -

Saya lihat langkah politik BPMS yang dibawa Ayah Chik berbeza dengan ini. Beliau mengambil kira persepsi, tetapi tidak terikut dengan persepsi yang merugikan.

Konsep UG, menasihat kerajaan, ulama vs profesional, wala`, sunni syiah, wahhabi aswj, tolak arab spring, kesatuan Islam, kedudukan melayu, RUU355 antara contoh menongkah arus populariti. Walaupun banyak pendekatannya tidak popular dan merugikan sokongan politik, tetapi beliau tetap dengan pendirian dan tidak terikut ancaman mana-mana pihak baik dalaman mahupun luaran.

Ketegasan itulah yang saya kira membawa PAS begitu gah ke peringkat ini. Beliau mengajar kita berpolitik dengan cara yang mencarik adat dan budaya politik tanah air. Memang penat, tetapi jika kita teguh dengan asas ilmu dan iman, kita mampu membawa negara lebih maju dari sedia ada.

Saya masih ingat kata-kata beliau ketika cadangan UG ditolak dan dihentam keras oleh lawan bertopeng kawan.

“Oleh kerana ramai tak faham tentang UG ini, saya tarik balik cadangan ini. Tapi saya yakin lambat laun orang akan faham dan akhirnya menerima juga.”

Beliau juga sering mengingatkan kami dengan satu sabda Rasulullah SAW:

“مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ ، رَضِيَ الله عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عليه الناس

(Barangsiapa mencari redha Allah dengan menanggung kemurkaan manusia, maka Allah meredhainya dan manusia akhirnya akan redha kepadanya.
Barangsiapa pula yang mencari keredhaan manusia dengan menanggung kemurkaan Allah, maka Allah memurkainya, dan manusia kelak akan memurkainya jua.) [HR Ibn Hibban]

Saya fikir BPMS perlu didiskusikan secara lebih komprehensif agar benar-benar berpijak di bumi yang nyata. 7 kriteria BPMS perlu dikupas satu persatu dan dihadam setiap ahli terutama pimpinan. Sangat baik jika dijadikan silibus usrah di peringkat qiyadi.

Apa yang saya perhati khusus di peringkat bawahan PAS, masih belum mahu menghayati konsep BPMS dari sudut keterbukaan menerima sebarang perbincangan bersifat kritis dan khilaf. Bagi mereka perbezaan akan menyebabkan kerugian sokongan politik, dan juga akan menyebabkan perpecahan. Sikap biar terus dalam kesalahan asalkan tidak menggugat keharmonian ini seharusnya perlu dikikis seandainya mahu maju ke hadapan.

Saya lihat yang menyebabkan ahli PAS mampu terima banyak idea-idea baru yang mencarik adat adalah kerana ia dibawa oleh Ayah Chik. Bukan kerana faham sangat dengan pemikiran beliau, tetapi kerana menyanjungi batang tubuh ulama itu lebih dari agenda yang sedang dibawa. Sampaikan nak berbeza pandangan dengan Ayah Chik pun tak berani. Lebih melampau dari sikap Saidina Umar dan para sahabat terhadap Nabi.

Saya sangat khuatir jika sikap ini berterusan, PAS akan berkrisis sekali lagi sedikit masa lagi. Sedarlah Ayah Chik bukan boleh memimpin PAS selama-lamanya.

- Advertisement -