Harap diampun Ustaz Taliban

- Advertisement -

SAYA amat cemas apabla Rafizi Ramli, MP PKR Pandan hendak mendedahkan ada orang penting yang rapat dengan pimpinan PAS dikatakan menerima duit daripada syarkat 1MDB yang menggelorakan politik Umno dan kerajaan sekarang.
       
Apabila didedahkan nanti matilah PAS menghadapi fitnahnya.
        
Siapalah gerangan orang yang dikatakan oleh Rafizi itu.
        
Sedang dilamun susah hati itu saya terbaca berita Pesuruhjaya PAS Perak menziarahi Ustaz Taliban, ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat yang dimasukkan ke Hospital Taiping. Sakitnya tidak diketahui tetapi apabila dimasukkan ke hospital tentulah keadaannya kecemasan.
       
Fikiran saya terus tersentak, jangan-jangan dia orang yang dimaksudkan oleh Rafizi itu.
       
Banyak orang yang segar dan dipercayai sihat tiba-tiba diserang penyakit mengejut seperti pitam, diserang jantung dan lain-lain disebabkan gangguan fikiran. Daya tahan badan tak terdaya melawan serangan gangguan fikiran. Ada yang mati.
       
Serangan Rafizi terhadap PAS itu memang teruk. Jika ia benar alang-alang pak lebai tidak terdaya menghadapinya.
      
Saya tidak tahu daya tahan badan Ustaz Taliban. Dalam keadaan PAS terancam itu, dia saja seorang PAS yang segar, uzur mengejut dan diburu serta merta ke hospital. Sangka saya dialah agaknya yang menerima duit 1MDB itu.
      
Syak saya itu kerana terasa dia banyak duit.
      
Sebelum itu dia diamanahkan oleh PAS Perak menganjurkan makan malam bagi perantau PAS Perak di Kuala Lumpur. Kata Pesuruhjaya PAS Perak, dia diberi masa kurang daripada sebulan untuk mengadakan majlis itu.
      
Saya hadir. Ramai yang hadir antaranya datang khas dari Perak. Saya kira ia amat berjaya dan pujian boleh diberi kepadanya kerana berjaya mengumpulkan ramai anak Perak malam itu.
      
Antara yang menarik perhatian saya ialah cabutan bertuah. Biasalah cabutan bertuah itu diadakan dalam mana-mana majlis.
      
Tetapi bilangan cabutan bertuah yang diadakannya banyak. Hadiahnya pun banyak. Lebih RM500 tiap-tiap satu. Saya anggarkan jumlah untuk cabutan bertuah itu besar juga. Jika jumlah itu diberi kepada derma pilihan raya, tentu ia meringankan.
      
Saya tertanya, dari mana dia dapat yang banyak itu?
      
Biasanya orang yang senang memberi duit yang banyak kepada orang kerana dia senang dapat duit.
      
Saya teringat seorang pembesar USNO dari Sabah kira-kira 40 tahun lalu. Dia ajak saya berbual-bual tentang politik di hotel di Kuala Lumpur. Sebelum kami berpisah dimasukkannya ke poket baju saya sekeping not wang kertas.
       
Banyak mana agaknya? Seribu ringgit!
       
Apa ni Dato? Banyaknya?
       
Ujarnya, Saya senang dapat duit. Saya tidak patut makan seorang. Saya mesti kongsi dengan oang lain.
      
Saya sangka, kalau betul ada orang yang rapat degnan pemimpin PAS menerima duit dari 1MDB, tentulah dia Ustaz Taliban.
      
Apabila Rafizi umumkan namanya, bukan Ustaz Taliban, saya senang hati kerana ia bukan Ustaz Taliban. Tetapi saya telah berdosa kepadanya kerana menyangka yang bukan-bukan terhadapnya. Saya harapkan beribu-ribu ampun daripadanya. Tiada cara terlepas daripada dosa itu kira dia enggan mengampunkan saya.
      
Saya jumpa dia di Muktamar PAS di Kota Sarang Semut. Dia ketawa sakan mendengarnya.
     
Apa sakit anta?
     
Jawabnya, ‘Tak cukup tidur. Ana tiga hari saja di hospital.’
     
Sekarang dia tidak apa-apa. Tapi kena cukup tidur.
     
Saya harap dia ampunkan saya. Besar pahalanya mengampunkan orang lain.
     
Apapun, saya rasa dia banyak duit, bukan dari 1MDB. – HARAKAHDAILY 4/5/2017

- Advertisement -
- Advertisement -