BNM digesa sekat permainan wang haram

- Advertisement -

JJPTR, CYL, Richway Global Venture dan BTC I-system, semuanya mempunyai satu persamaan; ia adalah skim permainan wang utama yang mendapat perhatian baru-baru ini tetapi untuk alasan yang salah. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut oleh berita bahawa begitu ramai “pelabur” (pengguna) yang tertipu oleh syarikat ini.

- Advertisement -

Tetapi kami tidak percaya bahawa keadaan ini akan menjadi begitu buruk jika Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah awal untuk menghentikan syarikat permainan wang ini.

Perlu diingatkan bahawa BNM merupakan badan yang ditugaskan dengan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang menyatakan bahawa:-
a.Seksyen 8. (1) (b) – tiada seorang pun boleh menjalankan sebarang perniagaan yang dibenarkan melainkan ia diluluskan oleh Bank di bawah Seksyen 11 untuk menjalankan sebarang perniagaan yang ditetapkan dalam Bahagian 1 Bab 1 Jadual 1.

b.Seksyen 8. (3) – Sesiapa yang melanggar subseksyen (1) melakukan kesalahan dan jika didapati bersalah, akan dikenakan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi 50 juta atau kedua-duanya sekali.

Kami mendapati amat mengejutkan sekali bahawa dinyatakan juga pada laman sesawang “Consumer Alert & Updates” BNM terdapat “Financial Consumer Alert” untuk memberi amaran kepada ahli syarikat awam dan laman sesawang yang dibenarkan mahupun yang diluluskan di bawah peraturan dan undang-undang yang berkaitan yang ditadbir oleh BNM.

Berdasarkan peruntukan Akta 758 dan dakwaan BNM di dalam laman sesawang mereka, adalah jelas bahawa aktiviti yang dijalankan oleh pengendali permainan wang ini adalah haram dan boleh didenda di bawah undang-undang ini.

Malah, walaupun berstatus “haram” BNM membenarkan syarikat ini untuk terus beroperasi. Dakwaan lain oleh BNM dalam laman sesawang “Consumer Alert & Updates” ialah “Perlindungan pengguna di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM TIDAK TERPAKAI sekiranya orang ramai memilih untuk berurusan dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah. Orang ramai yang terlibat dalam aktiviti kewangan yang tidak sah juga BOLEH DIDAKWA di bawah undang-undang kerana bersubahat dengan pengendali aktiviti yang tidak sah ini”.
 
Jadi kita perlu bertanya, kenapa syarikat ini dibenarkan untuk menjalankan operasi haram mereka dan kenapa pengguna diberikan pilihan untuk berurusan dalam aktiviti kewangan haram ini oleh pihak berkuasa seperti BNM?

Untuk meletakkan perkara ini dalam perspektifnya, kita perlu memberikan tumpuan kepada syarikat permainan wang JJPTR. BNM mendakwa syarikat ini telah berada di dalam Financial Consumer Alert mereka sejak 24 Februari tahun ini. Fakta bahawa syarikat ini berada dalam senarai BNM menunjukkan mereka mengetahui bahawa syarikat ini menyediakan aktiviti kewangan haram.

Tetapi syarikat itu dibenarkan untuk terus beroperasi dan kini pengguna di seluruh dunia telah mengalami kerugian terkumpul RM500 juta (pengasasnya menganggarkan hanya RM400 juta). Untuk menggantikannya, beliau mengemukakan satu rancangan baharu di mana beliau menjanjikan pelabur pulangan 35% ke atas pelaburan mereka – angka yang lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu 20% yang bertukar menjadi tidak mampan. Adakah BNM akan membenarkan beliau untuk meneruskan operasi haramnya itu?

Kenyataan oleh BNM berhubung JJPTR, CAP mendapati membingungkan apabila ia (BNM) hanya akan menyiasat syarikat itu sebaik sahaja laporan dibuat. Kenapa mereka terpaksa menunggu untuk laporan dibuat oleh orang ramai apabila mereka sendiri sudah pun mengisytiharkan bahawa syarikat itu menjalankan aktiviti kewangan haram?

Kami memahami bahawa salah satu fungsi badan seperti BNM ialah untuk melindungi kepentingan awam. Adakah kita salah? Kenapa mereka hanya melihat mereka yang ditipu dan kemudiannya hanya mengambil tindakan apabila seseorang mengadu ditipu?

CAP meminta BNM mengambil tindakan segera terhadap syarikat permainan wang seperti JJPTR seperti mana yang dijelaskan oleh Akta 758 dan mana-mana undang-undang lain yang berkaitan. Kami juga menuntut penjelasan oleh BNM kerana tidak mengambil tindakan setakat ini. – HARAKAHDAILY 4/5/2017

- Advertisement -