Bantah konsert Megadeth, nafi poster kait ketua pemuda

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penganjuran konsert Megadeth, sebuah kumpulan rock thrash metal dari Amerika Syarikat pada 5 Mei 2017 di Stadium Negara. Pada tahun 2001, band ini pernah dihalang untuk menganjurkan konsertnya di Kuala Lumpur.

- Advertisement -

DPPM juga telah menerima maklumat tentang sebaran satu poster secara maya yang telah mengaitkan Ketua Pemuda PAS yang antara isi kandungannya di dalam kenyataan tersebut menyatakan tentang kerosakan akidah menyertai konsert Megadeth serta usaha menggerakkan pemuda PAS berhimpun bagi melaksanakan bantahan. Sehubungan dengan itu, DPPM menafikan sebarang poster berkait dengan kenyataan tersebut oleh pihak Ketua DPPM.

Pun begitu, DPPM mempertegaskan beberapa hal yang melibatkan garis panduan hiburan dalam Islam. DPPM merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diterbitkan oleh pihak JAKIM dan diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10-11 Februari 2015.

Konsert Megadeth ini pernah dihalang penganjurannya pada tahun 2001. Difahamkan asas halangan adalah kerana pengaruh muzik mereka membawa kesan negatif pada peminat. DPPM mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa dalam menanggani penganjuran ini walaupun Garis Panduan Hiburan Dalam Islam telah begitu jelas diperakukan.

Demi masa depan negara yang lebih gemilang dan keseimbangan pembangunan rakyat yang berkualiti tinggi, DPPM mempersoalkan penganjuran konsert seperti ini. Apakah ia membawa faedah besar untuk rakyat atau hanya membuka ruang kepada rakyat untuk menyaksikan budaya yang tidak sihat di dalam negara ini.

Islam bukanlah agama yang menghalang hiburan. Ia memberikan peluang kepada ummahnya untuk berhibur dengan sempadan yang cukup jelas dan mudah. DPPM yakin, PAS tidak akan menghalang apa-apa penganjuran konsert hiburan yang menepati dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama demi memelihara kesejahteraan rakyat jika diberi mandat memerintah.

Menyediakan rakyat yang meletakkan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan nilai-nilai mulia dan murni adalah satu keutamaan PAS dalam pemerintahan.

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/5/2017

- Advertisement -