Pelihara sensitiviti agama, jaga adab dakwah

- Advertisement -

ISLAM telah mengatasi pertembungan ganas di antara agama dan memberikan garis panduan yang jelas mengenai sikap terhadap pihak lain termasuk dengan musuh sekalipun.

- Advertisement -

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kecelaruan dan permusuhan hingga berlaku serangan ke atas gereja, hotel, masjid dan kedutaan asing bukanlah daripada sikap Islam.

Terangnya, selain ayat 40 dan 41 surah al-Hajj, hadis-hadis Nabi juga menunjukkan sunnah terhadap diplomat asing termasuk negara musuh yang tidak boleh diganggu, sebaliknya diberikan keamanan.

Jelas beliau, pada ayat 7 hingga 9 surah al-Mumtahanah, Allah SWT menerangkan hubungan itu dan hikmah dari sikap yang ditunjukkan.

“Penganut Islam bertambah selepas Sulh Hudaibiyah dan berlipat ganda selepas Fathu Makkah. Konsep zakat muallaf dalam Islam, kalau kita baca fekah Mazhab Hanafi dan Maliki, mazhab yang paling banyak pengikutnya dalam negeri masyarakat majmuk yang berbeza dengan fekah Mazhab Syafi’e dan Hambali, yang tersebar di negeri yang majoriti orang Islam, seratus peratus orang Islam, Hijjaz Makkah dan lain-lain.

“Di mana konsep Abu Hanifah dan Imam Malik dalam zakat muallaf dibolehkan zakat diberi kepada mereka yang sudah masuk Islam untuk dibantu yang baru masuk Islam, dan mereka yang belum masuk Islam untuk berjinak dengan mereka. Ini konsep zakat, muallaf kulubuhum.
 
“Ulama kita perlu kaji, jangan kaji kitab fekah sahaja, kena kaji kitab tarikh, kaji sama kitab sirah, kena kaji dan kitab-kitab tafsir, membahaskan perkara ini,” seru beliau dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Terdahulu beliau menerangkan mengenai sensitiviti agama dan adab dalam berdakwah dengan menegaskan supaya tidak berlaku perbuatan mencaci cerca sembahan yang selain dari Allah walaupun tidak bersetuju kerana ia akan menimbulkan sikap melampaui batas.
 
Menurut Tuan Guru, Abul Hasan Ali Hasani Nadwi seorang pendakwah India tersohor dan  hidup di tengah masyarakat Hindu menasihatkan orang Islam supaya tidak menyembelih lembu secara terbuka di hadapan orang Hindu sebagai menghormati sensitiviti mereka. –HARAKAHDAILY 2/5/2017

- Advertisement -