Jangan tubuh parti baru atau keluar jamaah

- Advertisement -

PRINSIP dalam PAS akan menjadi lebih berkesan apabila dilaksanakan secara kolektif melibatkan aspek penyusunan tanzim jamaah berdasarkan konsep amal jamaie, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Katanya, pengalaman ulama haraki telah menghuraikan empat elemen utama dalam mencapai matlamat kepada kejayaan itu iaitu al-Imarah (kepimpinan), asy-Syura (mesyuarat), ath-Tha’ah (ketaatan) dan al-Bai‘ah (janji kesetiaan).
 
“Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung kepada keupayaan barisan pimpinan yang mengendalikan teraju kepimpinan jamaah itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepimpinan.

“Terlalu banyak nas al-Quran dan Hadis tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepimpinan yang baik. Dengan wujudnya pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan beradab oleh ahli yang bersetuju melantik pemimpin tersebut.

“Dengan demikian baru lah terbentuk saf Jamaah Harakah Islamiyah yang tersusun kukuh. Di sinilah terletak persoalan at-Tha’ah, al-Wala’. Yang kita maksudkan bukanlah setia membabi buta kepada jamaah atau pemimpin, ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui jamaah,” ujarnya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.
 
Tuan Guru memetik kisah Panglima Khalid Bin Al-Walid yang diarah Khalifah Umar Ibnul Khattab R.A supaya mematuhi Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai ketua walaupun jelas Khalid lebih terserlah dalam aspek ketenteraan.

Tetapi terang beliau, sempadan negeri sudah besar dan masyarakatnya lebih majmuk, di mana Abu Ubaidah adalah orang paling layak, namun Khalid terus melaksanakan tugas dengan setia tanpa ‘menubuhkan parti baru’.
 
Begitu juga petiknya kisah Ka’ab bin Malik dan Sahabat-sahabat yang tersilap dalam peristiwa Tabuk di mana mereka dipulau oleh Nabi dan para Sahabat lain, tetapi tidak bertindak keluar jamaah.
 
“Dalam sejarah PAS banyak peristiwa mereka yang sudah mati, Dr Abbas Ilyas, Ustaz Hassan Syukri, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Almarhum Tuan Guru Haji Harun Taib, contoh mereka yang sudah mati; dipilih (atau) tak dipilih, tetap bersama jamaah. Tak dipilih dalam muktamar, jadi ahli biasa.

“Dr Haji Abbas Ilyas, terus hadir sampai akhir hayat. (Beliau) Presiden PAS yang kedua, turun jadi AJK Pusat, turun jadi ahli biasa, tetap hadir ke Muktamar PAS, ini contoh. Ustaz Hassan Syukri, bertanding Timbalan Presiden, tak dipilih, terus dengan PAS, berkhidmat dengan PAS. Almarhum Ustaz Harun Taib begitu juga.

“Ustaz Abu Bakar Hamzah diambil tindakan disiplin, dipecat daripada parti. Saya masih ingat lagi, Almarhum suka buat kenyataan sendiri, cirit birit mulut. Walaupun dipecat, dia tetap bergantung dengan PAS. Tak pergi kepada parti lain, tak buat parti lain. Akhir dia diambil balik,” ujarnya turut memuji Veteran PAS yang lain iaitu Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Subky Latif.

Tuan Guru turut mengingatkan betapa Allah telah  men_takzim_ dan men_tahzil_kan Quran sebagai panduan hidup sepanjang hayat, supaya dijadikan petunjuk dan bukannya asyik dengan media baru yang sangat menggoda. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

- Advertisement -