Tahniah buat semua! Masa untuk bekerja

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah buat Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta semua Naib Presiden PAS dan semua AJK PAS Pusat sesi 2017/19.

- Advertisement -

DPPM turut merakamkan ucapan tahniah buat semua Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat serta seluruh AJK yang telah terpilih bagi sesi ini.

Petang tadi merupakan kemuncak Muktamar Tahunan PAS Ke-63. Seluruh perwakilan akan meninggalkan Kompleks PAS Kedah yang telah menabur bakti dalam menyampaikan khidmat bakti buat semua perwakilan berhimpun dan menjayakan mesyuarat. Tahniah seluruh kepimpinan PAS Kedah dan jentera semua peringkat.

Pengarahan jelas Presiden PAS melalui Ucapan Dasar Presiden, “Sejahtera Bersama Islam” dan ucapan penangguhan muktamar perlu dibawa pulang oleh semua jentera parti untuk membawa PAS di persada politik tanah air. Muktamar pada kali ini juga merupakan muktamar persediaan menghadapi PRU 14 selain usaha memperkukuhkan agenda jamaah setiap peringkat.

Muktamar ini menjadi isyarat jelas kekuatan PAS yang bersedia melalui agenda pemilihan walaupun tempoh menghadapi pilihan raya bakal menjelma pada bila-bila masa. PAS dilihat lebih menyerlah setelah berjaya menongkah badai yang melanda pada sesi yang lalu. Keutuhan pemimpin dan ahli PAS akan mengukuhkan keyakinan rakyat sebagai sebuah parti yang stabil dan berkeupayaan menggalas tanggungjawab rakyat memimpin negara ini.

Justeru, semua jentera PAS khususnya anak muda perlu bersedia untuk menyemarakkan gerak kerja pilihan raya dan memperkasakan PAS di semua peringkat. DPPM akan memperturunkan arahan gerak kerja secara menyeluruh untuk diberikan perhatian di peringkat negeri dan kawasan masing-masing dalam kadar segera selepas ini.

Tahniah buat semua. Semoga selamat kembali ke destinasi masing-masing. – HARAKAHDAILY 1/5/2017

- Advertisement -