Catatan ‘Semut Merah’ di Kota Sarang Semut

- Advertisement -

ANGGOTA Jabatan Amal Malaysia sebenarnya lebih suka dikenali sebagai “Semut Merah” dari jolokan atau panggilan “Tentera Merah”. Semut merah melambangkan AMAL sebagai pekerja Jemaah Islam atau amilin. Sifat semut ini lebih dekat dengan amilin AMAL kerana sikap dan keperibadian anggota AMAL itu sendiri.

- Advertisement -

Semut adalah antara haiwan yang namanya Allah sebut di dalam al-Quran. Begitu mulianya nama semut, walaupun hanya dua ayat sahaja disebut, namun dari seratus empat belas surah dicatat di dalam al-Quran satu surah yang diberi nama sebagai nama surah semut (An-Naml), iaitu surah yang ke-27 dalam urutan mushhaf.

Pola kehidupan semut ini sangat dekat dengan AMAL kerana sifat semut sangat rajin dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan malah kuat bekerja dan mencari inisiatif sendiri untuk melaksanakan kerja mereka asalkan tujuan mereka tercapai. Begitu juga dengan anggota AMAL, mereka dikenali sebagai amilin yang sentiasa patuh arahan dan sangat komited dalam melaksanakan tugas mereka.

Muktamar kali ini telah menyingkap sikap sebenar mereka, malah ramai di kalangan muktamirin mengakui akan perkara tersebut. Mereka anggota AMAL ini sebenarnya hadir dengan kenderaan dan duit sendiri, ada yang berkereta, ada yang berkongsi van malah ramai juga yang bermotosikal, hanya kerana tertanam tanggungjawab dalam diri mereka menyahut seruan tugasan yang pastinya hanya menjanjikan panas terik dan hujan lebat. Inilah sikap mereka yang tidak ada di dalam parti lain sehingga sahabat-sahabat lama merindui suasana itu.

Sejarah sekali lagi tercipta apabila sebaik sahaja kejadian ribut yang melayangkan khemah sebesar dewan jatuh rebah menghempap sekumpulan manusia yang sedang berlindung dari hujan, semut merah AMAL seperti sudah kebiasaanya sangat tangkas membantu dan merawat mangsa yang terhempap khemah dibantu pula pasukan Ameerah yang memberi rawatan kepada mangsa muslimat dibimbing dengan pasukan Papisma dan Medik Amal.

Mereka mengangkat besi runtuhan mengambil risiko memasuki kawasan runtuh dengan harapan tidak ada lagi mangsa di dalamnya. Mereka bertawakal pada Allah tidak hirau mungkin juga akan ada lagi khemah yang bakal menimpa mereka, namun demi memastikan mangsa yang dihempap khemah selamat mereka harungi jua. Ini semangat setiakawan dan persaudaraan yang tersemat dalam diri si semut merah.

Pasukan Medik AMAL antara yang sangat proaktif malah menyusun dan mengendalikan tempat rawatan mangsa dengan sangat efisyen yang diakui sendiri oleh pihak berkuasa seperti pegawai perubatan hospital dan pegawai Bomba yang tiba di situ sejurus menerima panggilan kecemasan. Tahniah buat pasukan Medik & Penyelamat AMAL, Ameerah, Papisma dan semua yang terlibat.

Kerja mereka bagaikan semut yang selalu bergerak sana sini dan tidak kenal lelah. Dalam tugasan semboyan, trafik dan lalulintas tidak akan ditemui seekor semut ini pun yang malas dan berpeluk tubuh malah sukar mereka tidur puas, apalagi dalam waktu yang lama. Begitulah hidup berkelana mereka.

Satu lagi pola kehidupan yang juga dicontoh AMAL, iaitu memperhitungkan segala kemungkinan yang mungkin terjadi pada hari esok, dan melakukan persiapan menghadapinya. Itulah yang Allah sebut dalam dalam surah al-Hasyar ayat 18:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Adapun semut selalu mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi hari esok, begitu juga dengan anggota AMAL yang selalu memikirkan segala kemungkinan yang akan terjadi di masa akan datang. Mereka sentiasa mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai latihan dan persediaan peralatan dalam menghadapi apa jua situasi mendatang.

Sekalung tahniah buat anggota Jabatan Amal Malaysia seluruh negara dan para pimpinan di semua peringkat. Hanya sedikit pesanan saya kepada diri saya dan semua Amilin “janganlah kita yang diberi akal dan iman yang kuat mensia-siakan anugerah Allah ini, marilah kita hargai setiap detik waktu yang dilalui dan setiap kesempatan yang datang kepada kita, apa yang berlalu adalah waktu dan masa, yang pastinya tidak akan kembali, penuhilah ia dengan sebaik-baik amalan”.
Wallahualam

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM
MARA MENUJU CITA
BERSIAGA MENUJU FATHU

Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor
1 Mei 2017

- Advertisement -