PRU14: PAS senarai Kedah di divisyen 1

KEDAH diletak pada senarai divisyen satu yang disasarkan PAS pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata negeri itu menjadi tumpuan sekali lagi sebagai negeri yang boleh dimenangi PAS.

Oleh itu, kata beliau bagi membolehkan kemenangan dicapai petugas PAS perlu bekerja kuat dari sekarang lagi.

“Sedih kalau ada dalam kalangan kita yang tidak bekerja untuk membolehkan meraih kemenangan tersebut,” katanya pada ceramah perdana di pekarangan Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua  Penerangan, Ustaz Nasrudin Hassan, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakulrazi dan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Ustaz Md Rejab Md Akhir.

Orang ramai memenuhi khemah tempat berlangsung ekspo muktamar sehingga begitu sendat. Khemah tersebut boleh memuat kira-kira 1,200 orang.

Sebelum ceramah dimulakan orang ramai yang hadir dihiburkan persembahan qasidah, selawat dan nasyid pelajar sekolah tahfiz. Manakala Faiz Fadli mengalunkan nasyid secara solo.

Sebelum ini, banyak pemimpin membayangkan Kedah mampu ditawan kembali PAS pada PRU kali dengan perkembangan yang berlaku sekarang.

Perpecahan Umno memberi kelebihan kepada PAS, biarpun pada masa yang sama menghadapi saingan dengan Pakatan Harapan.

Sebelum Timbalan Presiden PAS memulakan ceramah malam tadi hujan agak lebat turun diselangi tiupan angin sehingga menggoyangkan lampu yang digantung dalam khemah.

Orang ramai yang berada di luar pula terpaksa mencari tempat berteduh. Tiupan angin juga menyebabkan hujan tempias ke dalam khemah.

Dr Ahmad Fakhrudin juga yakin muktamar di Kedah menjadi momentum untuk membolehkan PAS kembali mentadbir negeri ini. – HARAKAHDAILY 1/5/2017