4 usul diterima, 1 ditolak

- Advertisement -

MUKTAMAR Tahunan PAS ke-63 petang tadi meluluskan empat usul selepas dibahas perwakilan, manakala satu usul ditolak kerana dianggap bertentangan dengan perlembagaan PAS.

- Advertisement -

Usul yang dilulus berkaitan membebaskan Baitul Maqdis yang dibawa anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor, tahaluf siyasi dengan PKR dibentang wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Zulkifli Ismail, usul syarikat berkaitan kerajaan iaitu Felda dan Tabung Haji yang dibawa wakil Dewan Muslimat PAS Pusat.

Selain itu usul mengenai menjaga sensitiviti agama dan kaum dibawa wakil Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohamad Ibrahim.

Bagaimanapun usul memperkasakan parti oleh PAS Bukit Katil ditolak muktamar kerana dianggap bertentangan dengan perlembagaan parti.

Wakil PAS Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Nik Abdullah dan wakil Kuala Kedah, Abdul Aziz Hussin menyifatkan usul tersebut tidak sesuai dilaksanakan kerana jawatan utama di peringkat pusat atau negeri di bawah bidang kuasa presiden.

Usul terbabit sebelum itu mahu jawatan utama termasuk setiausaha, bendahari, ketua penerangan pengarah pilihan raya dan pengarah IT hendaklah melalui proses pemilihan yang ketat.

Menjelaskan lanjut isu berkenaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pelantikan jawatan utama di peringkat pusat dan negeri dilantik dalam mesyuarat dengan dipersetujui presiden.

Sehubungan itu usul tersebut ditolak biarpun dianggap Pengerusi Tetap, Husin Ismail sebagai mempunyai niat baik bagi memantapkan lagi organisasi PAS.

- Advertisement -