Menanti untaian amanat Murabbi Ummah

- Advertisement -

ANGIN Subuh meniup sepoi bahasa. Hujan lebat yang membasahi bumi Jelapang Padi malam tadi saksi keghairahan pejuang agama Allah membukti tekad Istiqamah dijalan-Nya.

- Advertisement -

Malam tadi usai Maghrib dan Isyak, kemudi parti Islam ini telah bertemu muka dengan segenap kepimpinan pelbagai peringkat bagi memberi pencerahan dan amanat sebelum berlangsungnya Perasmian Muktamar Penuh PAS Pusat ke-63 di Kompleks PAS Kedah.

Murabbi Ummah itu tiada istilah rehat dalam kamus juangnya, apatah lagi ketika wadah perjuangan Islam ini dihenyak, difitnah kiri dan kanan oleh mulut ‘capoi’ bekas-bekas rakan sejawat, musuh Islam dan liberalis, sosialis dan segala isme yang songsang yang tidak mahu Islam meneraju negara.

Tatkala negara hari ini dalam ketempangan amat parah, Murabbi Ummah, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini datang dengan penyelesaian tuntas bersandar Islam dengan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Budaya dan pendekatan bukan menghentam, bukan sekadar membidas, tetapi memberi solusi ampuh demi melihat Islam meneraju negara yang dicintai ini.

Muktamar PAS ke-63 sekali lagi bakal menyaksikan parti Islam ini memilih sekali lagi teraju kepimpinan malah inilah garaban barisan pejuang hadapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Maka banyak mata memerhati dan terus memerhati tingkah, keputusan dan segala yang berlaku di muktamar ini.

Bukan itu sahaja, kedengarannya parti memerintah juga menjadikan muktamar ini sebagai benchmark kepada mereka dalam menentukan bila titik tarikh membubar Parlimen.

Angin dan gendang pilihan raya kedengaran cukup kuat bertiup, bercerana dalam dua tiga bulan ini.

Pagi ini Murabbi Ummah akan membaris amanat dalam Ucapan Dasarnya untuk dihayati, dihadam para pejuang Islam dalam mengatur strategi membuka langkah menuju cita.

Usai ucapan dasar pastinya majlis perasmian muktamar penuh akan disusuli pemilihan dan esok pula akan ada perbahasan ucapan dasar para perwakilan.

Pastinya antara isu yang bakal menjadi tumpuan khusus pemerhati serta media adalah usul mengkaji atau memutus hubungan Tahaluf Siyasi dengan PKR.

Apatah lagi dua dewan telah memutuskan usul bercerai dengan PKR jalan terbaik berdepan PRU14.

Apapun muktamar ini Pasti menatijahkan satu gerakan dan dimensi baharu kepada PAS merencana jalan dakwah dan siasah disemat Tarbiyah untuk para amilin, penyokong dan kepimpinan melebar sayap perjuangan membawa panji kemenangan Islam. – HARAKAHDAILY 29/4/2017

Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah