‘Kabinet Perang’ menuju medan jihad PRU14

- Advertisement -

HUJAN lebat yang turun membasahi bumi Alor Setar malam tadi telah merubah kawasan persekitaran Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar menjadi ‘jelapang padi’. Bumi yang becak hanya perkara enteng sahaja yang perlu dihadapi oleh perwakilan dan pemerhati yang akan memenuhi pekarangan kompleks yang menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Ke-63 pada pagi ini bagi mengikuti acara perasmian dan pembentangan ucapan dasar oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden.

- Advertisement -

Sebelum subuh lagi saya telah keluar dari teratak penginapan Krew Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dengan hajat untuk bersama menunaikan solat subuh berjamaah di Masjid Kompleks PAS Kedah. Di samping itu datang awal perlu bagi mengelakkan kesesakan.

Walau ada yang kata ‘Muktamar PAS tak ada class’, tapi saya yakin mereka yang datang lewat akan terpaksa parking kenderaan dan menapak dalam jarak yang jauh. Biarlah kita kekal dengan ‘class’ kita yang tersendiri.

Menarik juga pagi ini sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Setiausaha Agung PAS bahawa pimpinan PKR masih berada dalam senarai tetamu jemputan walaupun usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR telah diluluskan oleh Muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Bagaimana menggambarkan PAS sangat matang dalam menguruskan soal tahaluf siyasi dengan rakan yang satu ini. Selagi Majlis Syura Ulamak belum membuat keputusan dan ketetapan, secara rasminya PAS masih bertahaluf dengan PKR!

Muktamar Tahunan PAS Ke-63 yang akan membuka tirainya pada pagi ini juga merupakan muktamar terakhir sebelum PRU 14. Kepimpinan PAS Pusat yang akan dipilih oleh perwakilan dalam proses pengundian pada petang ini ialah ‘Kabinet Perang’ untuk menuju medan jihad PRU14. Walau sudah dekat dengan PRU, PAS sentiasa tenang melangkah tanpa rasa gusar akan berlaku perpecahan lantaran proses pemilihan yang berlangsung. Inilah uniknya PAS.

Kedah negeri yang dianugerahkan Allah dengan muka bumi yang subur. Kehijauan sawah padi nun jauh mata memandang sangat mendamaikan pandangan. Sememangnya warna hijau itu damai dan menyegarkan…

Dr Azman Ibrahim
Kompleks PAS Kedah
29 April 2017 – HARAKAHDAILY 29/4/2017

- Advertisement -