MENJELANG detik 10:00 pagi, 2 Syaaban 1438H bersamaan 29 April 2017, hati saya berbunga kesyukuran sebaik Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dasar bagi Muktamar Parti Islam Se-Malaysia PAS kali ke-63. Hati saya meratap hiba dengan kurniaan dari Allah SWT dalam liku-liku perjuangan PAS selama 66 tahun.
Mengapa tidaknya? Pertama kali ucapan dasar Tuan Guru Presiden dalam muktamar kali ini telah juga disampaikan dalam bahasa isyarat bagi manfaat sahabat-sahabat OKU pendengaran. Tanpa sebarang pengumuman, dan tanpa hebahan publisiti, takdir Allah menentukan julung-julung kalinya bahasa isyarat mengiringi ucap tama Muktamar kali ke-63.
Apa yang jelas, ia adalah suatu kelangsungan usaha PAS dalam memperkasakan gerak kerja parti bagi keperluan dan manfaat golongan OKU. Golongan OKU pendengaran adalah salah satu dari tujuh katagori OKU yang diiktiraf di Malaysia.
Negara dan dunia memperakui 15% populasi penduduk adalah terdiri dari komuniti OKU. Dalam suasana penduduk Malaysia yang mencecah 32 juta orang, tidak kurang dari 4.5 juta adalah warga OKU.
Sehingga kini sebahagian dari 400,000 OKU yang berdaftar adalah terdiri dari OKU pendengaran. Sebagai sebuah gerakan yang berteraskan Islam, kecaknaan PAS dalam membangunkan komuniti OKU termasuklah dalam usaha mendekatkan komuniti ini kepada keimanan dan ketaqwaan.
Apatah lagi bagi golongan OKU pendengaran, kecacatan yang mereka alami amat sukar dikenalpasti oleh masyarakat umum. Di sebalik fizikal mereka yang tampak sempurna sebenarnya tersembunyi rahsia akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dengan kurang upaya pendengaran yang ditakdirkan.
Kecacatan yang dialami oleh golongan ini amat sukar dikesan dengan mata kasar. Demikian pula cabaran mereka dalam memahami Islam hanya mereka dan sahabat yang rapat mengerti situasinya. Tidak hairanlah apabila dikatakan golongan ini mendepani cabaran yang cukup unik dalam mempelajari dan memahami Islam itu sendiri.
Menyedari cabaran tersebutlah pihak PAS melalui Sekretariat Prihatin OKU Malaysia dan jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang ada terus mengatur gerak usaha bagi mendekatkan golongan ini kepada syariat. Penampilan bahasa isyarat dalam Muktamar kali ke-63 ini hanyalah usaha kecil peringkat pusat yang sengaja direncanakan agar ia mampu merangsang setiap pendokong parti agar terus mendekatkan diri dengan komuniti OKU pendengaran di tengah-tengah masyarakat.
Buat Tuan Guru Presiden, seloka serangkap ini kami titipkan:
Al-Quran dan sunnah sedaya mampu kami turut,
Ucapan terima kasihmu kami sambut,
Bimbingan mu Tuan Guru kami paut,
Tak akan dilupakan Kota Sarang Semut. – HARAKAHDAILY 29/4/2017