Pindaan KJS punca DAP putus tahaluf

- Advertisement -

MENTERI Besar Kelantan menyifatkan usaha kerajaan negeri meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) II pada 2015 punca DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS.

- Advertisement -

Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata pindaan itu dibuat bagi menjelaskan lagi  perundangan tersebut yang tidak melibatkan orang bukan Islam.

“DAP marah dengan usaha kita memartabatkan perundangan Islam sehingga DAP Sarawak membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PAS.

“Sedangkan perundangan Islam tidak melibatkan orang bukan Islam,” katanya pada kuliah dhuha dan tahlil perdana di Kompleks Muasasah Darul Ulum , Pokok  Sena hari ini.

Ustaz Ahmad yang Timbalan Mursyidul Am PAS berkata pemimpin bukan Islam menyuarakan bantahan terhadap pindaan itu, sedangkan kerajaan  negeri tidak pernah menghalang terhadap amalan agama mereka.

Menurutnya orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka tanpa ada sebarang sekatan daripada kerajaan negeri.

“Namun peliknya ketika kita hendak melaksanakan suruhan agama  yang ditetapkan Tuhan kita perlu memberitahu kepada manusia.

“Ketika PAS berada dalam Pakatan Rakyat pun pindaan KJS diminta mereka supaya disesuaikan dengan kehendak parti-parti lain,” katanya.

Kata beliau di Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri sudah mewujudkan KJS kerana mempunyai bilangan penduduk Islam lebih 90 peratus.

Bagaimanapun katanya ia berbeza dengan Kedah biar pun juga pernah ditadbir PAS namun bilangan penduduk bukan Islam juga ramai.

Oleh itu beliau membayangkan PAS lebih selesa untuk bergerak sendirian kerana langkah itu lebih memudahkan kerja bagi  memartabatkan Islam dan gerak kerja dakwah.

Turut hadir pada program itu Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir; Setiausaha Dewan Ulamak, Ustaz Mohd Yusof Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Kedah, Ahmad Yahya. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

- Advertisement -