Saman SR: PAS lancar tabung dana khas

- Advertisement -

PAS melancarkan tabung dana khas bagi membiayai kos-kos tuntutan saman olehnya ke atas Sarawak Report di United Kingdom.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke-58 hari ini mengumumkan mengenai tabung itu yang dijangka akan menelan kos sebanyak RM200,000.

“Walaupun jumlah yang begitu besar, tetapi demi maruah, nama baik parti, PAS akan teruskan kerana kita tidak boleh membiarkan orang lain merosakkan nama kita,” katanya di hadapan kira-kira 170 perwakilan Pemuda PAS dari seluruh negara.

Katanya, PAS memutuskan untuk meminta sekurang-kurangnya RM5 untuk ahli menyumbang bagi menampung kos menyaman Sarawak Report.

“Saya sudah menjangka RM5 itu sedikit sangat,” katanya sebaik sahaja mendengar suara perwakilan yang menyifatkan jumlah itu terlalu sedikit.

Memetik kata-kata bekas Mrsyidul Am PAS, Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata, tidak perlu bimbang tentang wang di dalam PAS.

“(Nik Aziz berkata) walaupun ahli-ahli PAS tidak mempunyai wang, tidak kaya tetapi mereka sanggup berkorban untuk mempertahankan parti,” kata Tuan Ibrahim yang diikuti laungan Allahuakhbar di kalangan para perwakilan.

PAS mahu menyaman editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown kerana mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – HARAKAHDAILY 27/4/2017

- Advertisement -