Warga tertua di Jabi kembali ke rahmatullah

deraman
- Advertisement -

PADA dalam kad pengenalan, tercatat Deraman Semail dari Kampung Bukit Tanah, Jabi lahir pada tahun 1909. Beliau merupakan antara peneroka dan penduduk asal Kampung Bukit Tanah, Jabi bersama arwah datuk saya, Mat Saman Mamat yang telah meninggal dunia pada tahun 1995.

- Advertisement -

deramanWalaupun mungkin tak begitu tepat tarikh kelahiran kerana selalunya rekod kelahiran pada zaman dulu sekadar agak-agak, tapi saya rasa usianya tak jauh lari dari yang tercatat. Apatah lagi ayahanda saya yang telah berusia 71 tahun memaklumkan, ketika ayahanda masih usia zaman kanak-kanak, beliau yang mesra dipanggail Tok Deroman telah berusia sekitar 30-an, berumahtangga dan telah mempunyai cahaya mata. Sepanjang pengetahuan saya, Tok Deroman adalah warga tertua di Jabi malah mungkin antara yang tertua di Negeri Terengganu.

Dengan usia yang telah melebihi satu abad, Allah mengurniakan kepada Tok Deroman kesihatan yang baik. Boleh melihat, mendengar dan bertutur dengan baik. Diukur dengan usia, daya ingatannya juga baik. Orang lama dengan perjalanan melalui lurah kehidupan yang mencabar menjadikan tubuh mereka kuat dan sihat. Ketika saya mengunjunginya kira-kira dua bulan yang lalu, beliau masih mampu bercerita tentang kisah-kisah lama terutama bila saya tanya kenangan lalu bersama arwah datuk saya yang dipanggil Tok Chik.

“Loni dok leh nak gi surau doh. Dok cekak…” kata Tok Deroman.

Biasa kalau sihat, beliau antara yang selalu menjadi tetamu Allah di Surau as-Syakirin Kampung Bukit Tanah. Kadang-kadang naik basikal saja dengan jarak sekitar 1 km antara rumahnya menuju ke surau.

Saya tak pasti tentang taraf pendidikannya serta apakah beliau mampu menulis dan membaca, tapi yang jelas beliau terus istiqamah bersama PAS sehingga akhir hayat. Sayangnya khazanah pengalaman dari insan sepertinya tidak didokumentasikan untuk tatapan generasi mendatang.

Lima hari lepas, sekali lagi saya menziarahinya apabila mendapat khabar Tok Deroman kurang sihat. Di ruang tamu rumah, beliau terbaring lesu tanpa bercakap dan membuka mata tapi masih mampu menyedut beberapa teguk air susu menggunakan straw.  Melihat keadaannya yang semakin tenat, keluarga membawa Tok Deroman ke Hospital Besut. Setelah lima malam berada di Hospital akhirnya semalam 25 April 2017, kira-kira jam 8.20 malam, tibalah masanya perjanjian Allah untuk setiap yang bernyawa berlaku. Innalillah wainna ilaihi raajiuunn… Setelah kira-kira 108 tahun menghirup udara di atas muka bumi Allah, Tok Deroman kembali ke pangkuan Yang Maha Pencipta.

Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Jabi saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa kesedihan yang mendalam kepada isteri, anak-anak dan seluruh sanak-saudara Almarhum. Semoga Allah mengampuni dan merahmati serta menempatkan beliau bersama para solehin. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

- Advertisement -