PKR jadi rosak sejak menjauhi PAS

- Advertisement -

PANDANGAN umum ada yang melihat PAS itu seperti sebuah masjid, di mana di dalamnya terdapat orang baik-baik sahaja. Namun hakikatnya, mereka yang menganggotai PAS juga adalah manusia biasa dan lumrahnya tidak lari dari kesilapan.

- Advertisement -

Tetapi individu di dalam PAS yang melakukan kesilapan tidaklah dia diperlakukan seperti ‘putus atau buang saudara’ atau ‘tidak mengaku anak’. Kecuali yang melampau menyelisihi disiplin parti atau terbukti melakukan jenayah.

Ia berbeza dengan nasib malang dihadapi Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly. Semua pernah melihat keaktifannya dalam gerakan anak muda PKR dan bersama individu atau pimpinan utama parti itu. Tetapi belum pun beliau disabitkan dengan kesalahan yang didakwa atasnya, mereka itu sudah terpinga-pinga mendakwa tidak mengenalinya.

Terkini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula bermulut serong apabila cuba menoreh imej negatif kepada PAS dengan menyatakan Adam adalah bekas ahli PAS. PAS boleh menerima hakikat sebiji buah buruk dalam setandan pisang, tetapi ternyata tidak pada PKR. Bahkan dengan tempelakan Rafizi itu, seolah-olah PKR meletak Adam seumpama nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

Adam bagaikan terbuang terus dari PKR yang dilihat cuba berlagak suci. Walhal, PKR itu sebenarnya lebih layak diumpama seperti susu masam dalam belanga berkulat. Malu untuk ditulis semula senarai skandal dan kesipuan yang sudah masyhur dalam pengetahuan umum. Tetapi cukuplah direnung singkap keadaan PKR selepas tragedi ‘Langkah Kajang’ yang akhirnya menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dari PKR sendiri.

Sebelum dijatuhkan, kecemerlangan TSKI mengetuai Kerajaan Negeri Selangor menjadi aset kekuatan Pakatan Rakyat (PR) hingga mengulangi kemenangan jitu pada PRU13. Tetapi mereka merungut kepadanya bahawa TSKI itu dikatakan bakhil, kedekut dan susah memberi wang, sedangkan beliau mempertahankan amanah rakyat hingga rizab negeri juga meningkat di bawahnya.

Seterusnya beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan TSKI berjaya menjawab dengan semua fakta yang sebenar. Sampailah satu ketika, pertuduhan kepadanya dipanaskan lagi hingga membawa beliau dihadapkan ke Majlis Presiden yang diwakili pimpinan-pimpinan tertinggi dari PKR, PAS dan DAP. Namun, beliau menjawab dengan cemerlang dan Majlis Presiden berpuas hati dengan penjelasan padunya.

Namun, secara tiba-tiba berlaku arahan pengosongan kerusi Dun Kajang dan Pilihan Raya Kecil diadakan walaupun tanpa perbincangan dengan pihak PAS yang akhirnya membawa kepada pertukaran MB di mana naiknya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam erti kata lain, TSKI dijatuhkan secara terhormat, malah PAS turut disenteng keluar hasil percaturan jahat DAP hingga kemudiannya melahirkan Pakatan Harapan (PH) terdiri dari DAP, PKR dan PAN.

Tragiknya, imej bersih Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR sebelum itu semakin ternoda dengan pelbagai keraguan dan skandal yang terpalit atas kerajaan dan individu antaranya:
• Rafizi mendakwa pentadbiran Azmin mempunyai skandal rasuah dan seks;
• Kontroversi Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) melibatkan wang lebih RM2 bilion;
• Dakwaan mahu melarikan RM500 juta setahun wang Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS);
• Kemusykilan kerana melibatkan pengendali dari luar Selangor untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE);
• Pemilikan dan kekayaan meragukan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly;
• Keraguan kos RM9.8 juta untuk baik pulih Pintu Gerbang Selangor;
• Kalah dalam tuntutan semula bayaran pampasan RM2.7 juta kepada bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Bermakna, ketika adanya PAS, kerajaan terkawal dari sebarang ketidaktelusan dan penyelewengan. Tetapi kerajaan mula terpalit dengan isu dan skandal berkaitan apabila PKR mula menjauhi PAS. Ketika sama berkoalisi dalam PH yang sememangnya cuba dicengkam oleh DAP dengan watak ‘Abang Besar’nya, ditambah watak rakus PAN terhadap kedudukan. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

- Advertisement -