DERETAN tiang bendera bulan purnama yang berkibar megah kelihatan di jalan utama melewati sempadan Gerik – Baling.
Bendera hijau putih boleh dilihat sepanjang jalan dari Baling, Sik, Gurun, Sungai Limau sehingga bandar raya Alor Setar.
Suasana muktamar benar-benar dirasai. Kiri kanan sepanjang tersebut kibaran bendera memeriahkan lagi muktamar yang dijangka menarik perhatian ramai pemerhati politik.
Malah ditemui juga banyak sepanduk yang tertera gambar Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hashim Jasin dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Sepanjang jalan dari Baling ke Alor Setar melalui Gurun boleh ditemui banyak markas PAS. Setiap markas dihiasi bendera bulan purnama.
Ketika kami melewati kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut kelihatan petugas PAS sibuk melakukan persiapan terakhir.
Malam ini juga akan berlangsung perasmian karnival Kelantan di tapak muktamar di Kota Sarang Semut.
Karnival itu mengetengahkan pembangunan di Kelantan, pameran 50 tahun Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), promosi jualan usahawan Kelantan.
Di samping itu pameran hartanah anak syarikat PKINK di Kelantan. Perasmiannya dijangka disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakub.
Esok akan berlangsung muktamar Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda di lokasi yang berbeza di sekitar Alor Setar. – HARAKAHDAILY 26/4/2017