Ke mana arah kiblat

- Advertisement -

AL-QURAN mengisahkan Nabi Ibrahim A.S. yang disanjung dan dimuliakan oleh penganut semua agama; Islam, Yahudi, Kristian dan musyrikin dengan kepercayaan dan sebutan yang berbeza sama ada Ibrahim, Abraham dan Brahma. Nabi Ibrahim A.S. diperintah membina Kaabah yang disebut Bait Allah (Rumah Allah). 

- Advertisement -

Firman Allah:

وَإِذۡ يَرۡفَعُ إِبۡرَٰهِ‍ۧمُ ٱلۡقَوَاعِدَ مِنَ ٱلۡبَيۡتِ وَإِسۡمَٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ١٢٧ رَبَّنَا وَٱجۡعَلۡنَا مُسۡلِمَيۡنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةٗ مُّسۡلِمَةٗ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبۡ عَلَيۡنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٢٨ رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١٢٩ وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِ‍ۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢ البقرة .

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (127) Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang Islam (yang tunduk patuh) kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang Islam (tunduk patuh) kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (128) Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur´an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (129) Dan tidak ada yang benci kepada Agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Tunduk patuhlah! (Islam)” Ibrahim menjawab: “Aku tunduk patuh(Islam) kepada Tuhan semesta alam”. (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”. (132) [ Surah Al-Baqarah: 127-132]

Bumi Mekah dipilih menjadi tempat dibina Kaabah yang menjadi kiblat kepada penganut Islam dan tempat kelahiran Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. daripada zuriat Ibrahim A.S. Diwahyukan kepada Baginda Kitab Suci Al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Di akhir zaman ini, kemajuan sains dan teknologi terkini yang menjadikan dunia seolah tanpa sempadan adalah daripada sedikit ilmu akal dan kajian manusia, semuanya adalah kurnia Allah S.W.T yang wajib disempurnakan dengan hidayah kitab Al-Quran itu.

Ada empat konsep terpenting ditunjukkan oleh Al-Quran melalui Rasulullah S.A.W. yang diwahyukan kepada Baginda. Empat konsep itu ialah: Hikmah (kebijaksanaan), Adil (terhadap semua), Rahmat (kepada seluruh alam) dan Maslahah (berpandukan Siyasah Syariah dan Maqasid Syariah).

Setiap satunya memerlukan kajian mendalam dan huraian terperinci oleh para ulama’ yang mendalami Al-Quran dan Sunnah yang mampu berijtihad, sama ada secara indivudu yang cukup syaratnya atau secara berjamaah (kolektif) yang dapat menyempurnakan syarat-syaratnya. Ini menjadikan Al-Quran petunjuk di sepajang zaman kepada seluruh manusia.

Berteraskan empat perkara tersebut dengan berkonsepkan rukun Iman, Islam dan Ihsan, khususnya aqidah beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan konsep bertaqwa di dalam diri, Islam telah menguasai tiga benua besar dunia dalam masa yang cepat walaupun selepas berlakunya kewafatan Rasulullah S.A.W. dan kepungan peristiwa riddah bersama kuasa-kuasa besar dunia di timur dan barat.

Islam bukan sekadar berjaya menjatuhkan kuasa besar yang zalim walaupun bertamadun, tetapi dalam masa yang sama berjaya mencipta Tamadun Islam dan menyatukan masyarakat majmuk sehingga menjangkau sebahagian daripada tiga benua besar. Memerintah masyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya dalam tempoh beberapa abad, sehinggalah ajaran Islam ditinggalkan kerana kelekaan pemerintah, kelemahan para ulamak dan kejahilan umat Islam sendiri terhadap agamanya serta ilmu sains dan teknologi yang telah dibina oleh tamadun Islam itu sendiri.

Di zaman kelemahan, sehingga berlakunya kejatuhan pemerintah yang membawa kepada zaman penjajahan yang bukan sekadar menjajah tanah air dan jasad umat Islam berbagai bangsa bahkan  juga menjajah pemikiran, apabila dilumpuhkan kefahaman Islamnya. Tanah air umat Islam daripada Asia Tenggara di Timurnya sehinggalah Afrika Barat. Daripada Asia Tengah sehingga Afrika Tengah dipecah buminya dan dilagakan bangsanya.

Maka berlakulah kehilangan jati diri seperti yang dinyatakan Allah S.W.T:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلۡقِبۡلَةَ ٱلَّتِي كُنتَ عَلَيۡهَآ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِۚ وَإِن كَانَتۡ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَٰنَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ ١٤٣ البقرة .

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasotiyyah (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.” (Surah Al-Baqarah: 143)

Firman Allah:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠ آل عمران .

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran: 110)

Allah Yang Maha Esa, Kitab Al-Quran, Rasul akhir zaman dan Kiblat yang satu, sepatutnya menyatukan semula umat Islam, tetapi kecelaruan kefahaman membawa kepada kecelaruan cara hidup.

Kecelaruan ideologi telah memisahkan cara hidup berpolitik, ekonomi dan bermasyarakat madani yang sepatutnya disatukan oleh kiblatnya sudah hilang, walaupun masih berhimpun di musim Haji di hadapan Kaabah di Mekah, tetapi  politik yang menguasai cara hidup berkiblat ke arah White House (Rumah Putih) di Washington.

Jelas disaksikan betapa pengaruh politik White House menghantui para pemimpin dunia Islam. Apabila kempen Pilihanraya Presiden Amerika berjalan rancak, semuanya berpihak kepada Hillary Clinton yang dikatakan bersifat sederhana dan mengutuk Donald Trump yang pelampau.

Namun apabila keputusan yang berada di White House ialah Donald Trump yang dikatakan ganas itu, tiba-tiba hala politik dan ekonomi dalam hubungan luarnya menghadap ke arah White House juga.

Para ulama yang bijaksana mewajibkan perpaduan umat Islam juga berasaskan kiblat yang satu walaupun berbeza mazhab dan bangsa dengan anggapan sebagai ahli Al-Qiblah, walaupun ada yang salah dan batil, namun dimaafkan kerana kejahilannya.

Kembalilah semula kepada Islam yang sempurna dengan satu kiblatnya ke arah Baitullah (Rumah Allah) yang berada di Makkah dalam beribadat dan seluruh cara hidup. Pecahkan kejumudan kerana kejahilan itu, serta tinggalkan kiblat ke arah White House (Rumah Putih) di Washington.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
29 Rejab 1438 H / 26 April 2017 – HARAKAHDAILY 26/4/2017

- Advertisement -