Kajian Invoke Centre psikologi lonjak PKR dominasi PH

- Advertisement -

DAPATAN daripada kaji selidik 10,523 pengundi mengenai kebolehpindahan undi antara parti pembangkang yang dilakukan oleh Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI) tidak perlu dipandang serius oleh rakyat.

- Advertisement -

Ini kerana diketahui ramai bahawa I-CPI adalah milik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keneutralan kaji selidik tersebut.

Sebagai pemimpin tinggi PKR, tentu akan ada tuduhan bahawa dapatan kaji selidik tersebut berpotensi digunakan bagi melonjakkan imej PKR sebagai peneraju utama Pakatan Harapan (PH)

Tuduhan ini tidak boleh dipandang remeh kerana PKR didapati paling diterima oleh pengundi parti komponen PH lain, iaitu 87.2% pengundi DAP, 80.4% pengundi Amanah dan 80.3% pengundi PPBM.

Ini berbanding PPBM yang hanya diterima oleh 61.4% pengundi DAP, 66.3% pengundi PKR dan 78.0% pengundi Amanah.

Amanah hanya diterima oleh 61.0% pengundi PKR, 65.5% pengundi DAP dan 68.2% pengundi PPBM manakala DAP pula hanya diterima oleh 69.8% pengundi PPBM, 81.7% pengundi PKR dan 85.1% pengundi Amanah.

Berdasarkan dapatan kaji selidik ini, maka Amanah kelihatan paling menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi tetapi tidak mendapat balasan sama dari ketiga-tiga parti komponen lain, khususnya PKR.

Masalah kelihatan berlaku di dalam hubungan antara PKR dan Amanah apabila hanya 61.0% pengundi PKR sahaja menerima Amanah berbanding 80.4% pengundi Amanah yang menerima PKR.

Begitu juga dengan hubungan antara PKR dan PPBM yang turut tidak seimbang apabila hanya 66.3% sahaja pengundi PKR menerima PPBM berbanding 80.3% pengundi PPBM yang menerima PKR.

Hubungan antara DAP dan Amanah juga kelihatan tidak seimbang bila hanya 65.5% pengundi DAP sahaja menerima Amanah berbanding 81.5% pengundi Amanah yang menerima DAP.

Begitu juga dengan hubungan antara DAP dan PPBM yang kelihatan tidak seimbang bila hanya 61.4% pengundi DAP sahaja menerima PPBM berbanding 69.8% pengundi PPBM yang menerima DAP.

Kesemua ini mendedahkan ketidakikhlasan antara sesama parti komponen PH, khususnya DAP terhadap PPBM dan Amanah serta PKR terhadap Amanah dan PPBM.

Oleh itu, dalam pada ia menunjukkan penerimaan semua komponen PH terhadap PKR, dapatan kajiselidik ini juga menunjukkan belang sebenar bukan sahaja PKR tetapi juga DAP terhadap parti-parti rakan mereka.

Ia menjadi petanda awal betapa parti-parti komponen PH ini, khususnya PKR dan DAP, mempunyai kecenderungan untuk mensabotaj antara satu sama lain demi kelangsungan politik sendiri.

Amanah dan PPBM seharusnya memikirkan semula tahap komitmen mereka terhadap DAP dan PKR apabila dapatan kaji selidik ini menunjukkan kedua-dua parti ini tidak ikhlas terhadap mereka.

Umumnya, dapatan kaji selidik ini bahawa BN mendahului atau PAS tercorot tidak menjanjikan apa-apa apabila jumlah responden yang tidak memberitahu parti yang mereka akan undi adalah terlalu tinggi, iaitu 35%.

Sekali lagi, dapatan kajiselidik ini mungkin sahaja akan ditafsirkan sebagai satu perang psikologi bagi melekakan BN atau bagi melemahkan semangat PAS. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia