Ahok, Zakir Naik, Turki…apa PAS mahu? (II)

- Advertisement -

BEBERAPA buah lagi parti yang mengaku Islam, tidak boleh diharap, bagaikan tikus jatuh dalam kepuk padi. Diam membisu. Mungkin kerana tuan besar mereka sedang menjeling mereka. Tumpuan mereka kepada pasar malam yang dihentikan bagi memberi ruang kepada solat maghrib. Bukan Islam tak bantah, dia yang sibuk. Satu parti sedang menghadapi proses keluar ahli beramai-ramai. Ada parti yang sedang resah menunggu keputusan muktamar berkaitan tahaluf dan siasatan kekayaan ahli mereka.

- Advertisement -

Turki:

Turki yang baharu sahaja merayakan kemenangan tipis Erdogan dalam referendum bagi memberikan Presiden kuasa penuh bagi mentadbir negara. Walaupun jelas Erdogan dari parti AKP itu, bukanlah teman politik PAS secara rasmi. Parti Saadat yang pernah dipimpin oleh Erbakan, yang dahulu dikenali sebagai parti Refah adalah musuh kepada AKP secara politiknya tetapi teman akrab PAS.

Pernah Presiden PAS dimarahi oleh almarhum Erbakan selama berjam-jam berbalas hujah kerana mahukan Erbakan berdamai dengan Erdogan yang bagi Erbakan, Erdogan telah mengkhianati Saadat. Tetapi demi Islam yang dilihat boleh berkembang di Turki melalui kepimpinan Erdogan walaupun kecil ruangnya, saya percaya, PAS insya Allah boleh berlapang dada sekiranya Islam sebagaimana yang diidamkan oleh Erbakan dilaksanakan di Turki. Sama sebagaimana kerjasama dan bantuan PAS, kepada dan daripada DAP, Umno dan S46 suatu ketika dahulu. Asalkan sahaja Islam memimpin.

Ironinya kaitan kepada semua peristiwa ini, Habib Riziq, PKS, Zakir Naik dan Erdogan, mereka tetap mencari PAS yang dibenci oleh pembenci Islam yang dibawa oleh PAS. Habib Riziq mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS ketika hangat berkempen. PKS pula sememangnya menjadi sekutu dalam politik Islam kepada PAS. Zakir Naik, juga tidak ketinggalan turut bertemu mata dengan Presiden PAS. Paling menyakitkan hati pembenci PAS yang mengagungkan Erdogan, Erdogan memberikan layanan yang baik serta menghantar wakil bertemu Presiden PAS ketika Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dimasukkan ke hospital kepunyaan parti Saadat di Turki. Semua kumpulan yang berkait dengan Islam berebut menghargai Presiden PAS. Benarlah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Begitulah sikap PAS dalam isu mendaulatkan Islam. Tidak kira ruang bagi menjulang itu luas atau sempit, PAS akan berusaha menampilkan dirinya bagi memberikan sumbangan ataupun sokongan kepada kumpulan Islam yang lain. Ini kerana PAS tahu adalah sesuatu yang memeritkan untuk menjulang Islam di zaman ini yang jauh daripada Rasulullah SAW. Lebih terasa kepedihan itu jika ada yang menjadi batu penghalang, penentang dan berkhianat, adalah dari kalangan orang Islam sendiri. Konsisten sikap PAS ini terhadap Islam sejak turun temurun. Tak perlu bagi golongan pembohong untuk menempelkan diri kepada Almarhum TGNA memberikan ucapan pembodohan rakyat dengan berkata kononnya ‘kalau TGNA masih hidup, TGNA tidak menyokong PAS sekarang’. Dibuktikan dengan fakta yang jelas oleh Profesor Madya Kamarul Yusoff akan konsistennya perjuangan PAS TGNA dan TGHA sejak dahulu.

PAS tidak memandang isu picisan sebagai penghalang serius dakwah Islam kerana ianya akan merencatkan perjalanan membawa obor Islam yang jauh dan panjang ini. Ibarat kemuncup yang perlu dicabut selalu, ianya tidak membawa kebaikan kepada perjalanan yang sangat mencabar ini. Sebab itu ketika manusia lain heboh bercakap tentang gambar aksi bercium dan meneguk minuman, pimpinan tertinggi PAS mendiamkan diri mereka daripada memberi komen. Sama juga ketika tuduhan berlegar cerita tentang betapa kayanya seorang budak muda yang mendapat gelaran Datuk pada usia bawah 30 tahun, pimpinan tertinggi PAS mengambil sikap yang sama.

PAS jauh ke hadapan, meninggalkan isu-isu remeh temeh yang seperti tiada punca dan hujung. PAS membawa beban berat umat Islam yang ketika ini amat sedikit mahu memikulnya. Difitnah, dicaci, dihina adalah harga kepada kerja ini. Memang PAS tidak sempurna sepenuhnya tetapi PAS tetap bekerja ke arah kesempurnaan. Insya Allah suatu waktu, ketika golongan yang ‘sempurna’ datang mengambil tugasan ini PAS akan berada bersama-sama barisan ‘sempurna’ itu. Atau lebih diimpikan lagi, agar PASlah yang dikurniakan Allah mengetuai pasukan ‘sempurna’ itu, insya Allah.

Maka berbalik kepada persoalan kepada isu utama tulisan ini ‘Apa PAS Mahu?’, PAS mahukan Islam dijulang, walau syahid ataupun kemenangan. Kerana itu PAS istiqamah bersama mereka yang bersetuju dengan cara Islam yang sebenarnya, tidak kira siapa mereka, sehinggalah mereka sendiri meninggalkan PAS seperti yang dicontohkan oleh Umno, DAP, S46 dan juga ahli-ahli parti khadam.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar

- Advertisement -