Sistem pentadbiran BN gagal

- Advertisement -

SISTEM pentadbiran kerajaan BN gagal dan meletakkan negara Malaysia dalam kedudukan yang tidak stabil.

- Advertisement -

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia telah membawa kepada ke arah kebejatan, kemusnahan, sistem ekonomi rasuah, penggelapan wang negara dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, perkara yang paling membimbangkan ialah isu melibatkan jenayah rompakan yang terdiri daripada golongan ‘kolar putih’.

“Baru-baru ini kita didedahkan media ratusan juta wang yang digelapkan, disimpan dalam rumah, kalau simpan dalam bank panjang cerita.

“Ada bukti ada akaun dari semua ini orang akan boleh dikesan terpaksa ia simpan dalam rumah seperti yang berlaku kepada Pengarah Air Sabah,” jelas beliau dipetik Buletin Online.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Minum Petang (Hi-Tea) Muslimat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Kuala Nerus kelmarin.

Selain itu, katanya, banyak kes ketidaktelusan yang dinyatakan secara rasmi melalui Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun.

Menurutnya, ia adalah bukti secara jelas, salah laku berlaku secara berterusan dalam kerajaan yang terus mengamalkan polisi yang sama.

“Sekiranya kerajaan ini mengamalkan polisi yang sama ia akan menjurus ke arah itu, bermula dari Perdana Menteri pertama Tunku Abd Rahman sehingga zaman Mahathir.

“Dan zaman Najib lagi tenat sehingga ke hari ini, sistem yang diguna pakai gagal menangani semua yang disebut di atas, kerana sistem yang sama, walau pemimpin berbeza,” tegasnya.

Cuma bezanya, kata beliau, maklumat masakini lebih terdedah berbanding dahulu dengan adanya teknologi maklumat seperti telefon pintar dan aplikasi mesej atas talian.

Justeru itu, beliau bersyukur kerana Usul Pindaan Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) dapat dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang.

“Saya kira ada hubung kait dengan apa yang saya katakan menyebabkan kita berfikir apa nak jadi kepada negara kita ini, generasi anak-anak kita semakin lama semakin teruk.

“Oleh itu kerajaan yang ada hari ini perlu ditukar, kerana sistem, polisi yang diamalkan gagal menjamin kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

- Advertisement -