Kocakan dua tahun lalu tidak lemahkan PAS

- Advertisement -

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sedikit kocakan yang berlaku terhadap PAS dua tahun lalu ternyata tidak melemahkan PAS.

- Advertisement -

Malah, katanya kemenangan tanpa bertanding jawatan tertinggi ketiga-tiga dewan menjelang muktamar menunjukkan PAS semakin bersatu.

“Ini sudah tentu menutup mulut pengkritik-pengkritik kononnya PAS akan berpecah teruk kali kedua selepas mereka yang kalah pada pemilihan lalu bertindak keluar parti.

“Malah, hanya PAS satu-satunya parti yang berani mengadakan pemilihan pada tahun pilihan raya,” katanya pada Majlis  Perasmian Penutup Konvensyen PAS Pahang 2017 di Kuantan, hari ini.

Dalam konvensyen bertema ‘PAS Teraju Pahang’ diisi dua pembentangan iaitu ‘Kegagalan kerajaan BN – Pahang perlu diselamatkan’ oleh Adun Beserah Andansura Rabu dan ‘Tsunami Melayu PRU 14’ oleh AJK PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki.

Tuan Ibrahim turut memuji dan mengucap tahniah kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS  (DHPP) yang berani mempertahankan parti itu ketika diserang.

“Pada waktu orang lain menentang RUU355, mereka berkempen menyokong. Pada ketika PAN  menentang usaha kerajaan Kelantan menghentikan operasi perniagaan  untuk solat Maghrib,  DHPP menyatakan sokongan kepada usaha murni itu,” ujarnya di hadapan 800 jentera pilihan raya PAS Pahang.

Sementara itu, dalam sidang media selepas program, Tuan Ibrahim menganggap sasaran PAS menguasai Pahang dengan bertanding 30 kerusi Dun adalah realistik.
 
Katanya, meskipun PAS hanya menang tiga kerusi pada PRU yang lalu, namun kebanyakan kerusi yang ditandingi hanya kalah dengan margin yang kecil di bawah 10 peratus. – HARAKAHDAILY 23/4/2017                                             

- Advertisement -