Kenyataan MB Kelantan sempena pertabalan Agong XV

- Advertisement -

KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-XV, SULTAN MUHAMMAD V

- Advertisement -

AGONGFirman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Dan adapun dengan nikmat Allah (yang dikurniakan kepada kamu) maka hendaklah kamu berkata (dengan lafaz kesyukuran)”. (Ad-Dhuha :11)

Saya mewakili seluruh rakyat Negeri Kelantan mempersembahkan setinggi-tinggi tahniah di atas pertabalan KDYMM Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-XV pada 27 Rejab 1438H bersamaan 24 April 2017M.

Pada hakikatnya, seluruh rakyat Negeri Kelantan merasa sangat bersyukur dan berbangga dengan pertabalan ini serta besarlah harapan seluruh rakyat kepada Baginda untuk menaungi Negara Malaysia tercinta dengan penuh adil saksama di bawah panduan Syariat.

Umum mengetahui bahawa Baginda sangat mengutamakan tuntutan agama. Semasa Baginda memerintah di Kelantan, Istana dibuka untuk sekalian rakyat jelata agar mereka dapat mendengar kuliah agama, mengerjakan Solat Terawih dan Qiamullail khasnya di bulan Ramadhan. Ini adalah suatu keunikan yang ada pada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Seluruh kepimpinan negeri beserta rakyat insya-Allah akan sentiasa mendoakan Baginda agar sentiasa diberi inayah dan kekuatan dalam menaungi rakyat Malaysia di bawah wadah kesatuan demi untuk membina Malaysia harmoni, sejahtera dan di bawah naungan keredhaan Allah SWT.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas istiadat pertabalan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV yang akan berlangsung esok. Saya beserta seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan penuh dan sentiasa berdoa agar KDYMM Sultan Muhammad V sentiasa di bawah lembayung rahmat Allah SWT untuk memerintah dengan penuh kesempurnaan, menaungi seluruh rakyat dengan keadilan dan menobatkan Syariat Islam dalam Negara yang tercinta ini.

“ISLAM DIJULANG, RAJA DIJUNJUNG, RAKYAT DISANJUNG”

YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
Bertarikh: 26 Rejab 1438H / 23 April 2017M

- Advertisement -