Empat cerita membuka mata minggu ini

- Advertisement -

Exco Johor yang meletak jawatan
 
Pembangkang selalu mendakwa mereka lebih baik daripada pemimpin BN. Minggu ini, Datuk Abd Latif Bandi telah membuktikan sebaliknya.
 
Tindakan Abd Latif meletakkan jawatan sebagai Exco Johor meskipun beliau belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan 2016 adalah satu tindakan terpuji.
 
Sebenarnya Abd Latif boleh mengikuti jejak seorang pimpinan pembangkang tertinggi di utara yang masih enggan melepaskan jawatan meskipun telah didakwa. Beliau boleh berkeras untuk kekal sebagai exco Johor atas alasan “belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.
 
Malangnya, beliau tidak. Pengunduran beliau ibarat satu tamparan kepada pembangkang yang merasakan mereka lebih baik daripada pemimpin BN.
 
Diharap selepas ini, para pembangkang jangan lagi membuat bising lagi apabila ada pemimpin yang enggan lepas jawatan meskipun telah didakwa atas apa-apa tuduhan. Tutup sikit sifat hipokrit itu kalau boleh.
 
Kes Adam Rosly
 
Ketika Abd Latif disiasat SPRM, ada pemimpin pembangkang yang menyeru agar siasatan juga dilakukan terhadap Menteri Besar Johor.
 
Apabila kes Pemuda PKR Adam Rosly dibawa ke mahkamah oleh SPRM, pembangkang terus membisu. Tiada siapa yang menyeru SPRM untuk menyiasat sama ada pimpinan tinggi PKR yang terlibat.
 
Apakah kes rasuah, kes penipuan mahupun kes kekayaan luar biasa ini berbeza mengikut siapa yang terkena? Jika ya, diharap para pembangkang dapat berhenti menipu rakyat bahawa apa yang dilakukan mereka adalah demi rakyat. Lebih afdhal jika mereka dapat mengakui segalanya hanyalah kenyataan bersifat politik daripada rakyat terasa tertipu dengan sandiwara yang disajikan.
 
Gambar tak senonoh
 
Kebisuan pihak pembangkang dan gerakan sivil terhadap gambar-gambar tidak senonoh mirip dua pemimpin muda Melayu DAP tidaklah menghairankan. Yang mengejutkan ialah kelakuan itu mendapat sokongan.
 
Maaflah nak kata. Ini bukan hal peribadi antara dua orang bujang. Ini hal antara seorang bujang dengan seorang yang sudah berkeluarga, walaupun ia bersifat peribadi, tapi ia tetap melibatkan soal menghormati institusi perkahwinan, batas-batas norma masyarakat dan akhlak asas seorang individu kepada keluarganya.
 
Diharap mereka yang membisu dalam isu ini jangan lebih sudu daripada kuah apabila perkara ini terjadi para orang lain, termasuklah musuh mereka. Berpolitik biar konsisten.
 
Puisi kontroversi Mufti Perlis
 
Ekoran puisi ‘Penyembah Lembu’ untuk mempertahankan Dr Zakir Naik, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus dikecam pelbagai pihak.
 
Rasanya ini kali pertama Dr Asri dikecam sebegitu rupa.
 
Menariknya, kebanyakan kecaman itu datang daripada mereka yang pernah menyokong beliau ketika beliau membantu memanjangkan hujah-hujah para penentang RUU355.
 
Mujur bagi Dr Asri, tidak seperti episod RUU355, mereka yang menyokong RUU355 tidak mengambil kesempatan ini untuk turut mencemuhnya atas puisi kontroversi tersebut.
 
Insiden ini menimbulkan satu persoalan menarik untuk direnungkan.
 
Katakanlah puisi itu ditulis oleh salah seorang pemimpin PAS, apakah Dr Asri akan melakukan perkara yang sama atau beliau akan mengambil langkah untuk turut ‘mengajar’ pemimpin PAS tersebut? Sama-sama kita renungkan. – HARAKAHDAILY 23/4/2017

- Advertisement -
- Advertisement -