Demokrasi, diktatorship, teokrasi dan syura

- Advertisement -

SEBENARNYA tak ada demokrasi dalam Islam ni. Yang ada hanya syura.” Ujar seorang ustaz dalam usrah. Ahli usrah yang lain mengangguk setuju.

- Advertisement -

Saya bersetuju dengan sebahagian kenyataan ini. Demokrasi hanyalah wasilah yang dipakai untuk mencapai matlamat agama. Ia bukan ajaran Islam sepenuhnya. Demokrasi moden adalah adaptasi songsang orientalis dari ajaran Islam yang sebenar.

Tapi satu perkara yang perlu diteliti adalah, apakah demokrasi seratus peratus bercanggah dengan syura? Apakah jika kita mengamalkan syura, bermakna kita menolak seluruh nilai demokrasi?

Sebenarnya membandingkan syura dan demokrasi dalam bentuk pertentangan adalah tidak tepat. Ini kerana bukan semua nilai demokrasi bertentangan dengan syura. Ruang lingkup pengertian demokrasi juga berbeza dari luang lingkup syura.

Demokrasi adalah satu set sistem politik yang merangkumi konsep penentuan pemimpin, konsep undang-undang, konsep kebebasan bersuara, konsep kebebasan sosial, konsep berpersatuan, konsep membuat keputusan dan sebagainya. Sedangkan perbahasan syura lebih kecil dari itu, sekadar membincangkan konsep Islam dalam membuat keputusan.

Dalam konsep membuat keputusan juga, bukan semuanya bertentangan dengan demokrasi. Mungkin perbezaan paling pokok adalah demokrasi memberi kuasa sebebasnya kepada manusia, sedangkan syura tidak boleh bebas mengatasi ketetapan Allah.

Dalam isu kuasa majoriti, demokrasi mengagungkannya. Dalam Islam, suara majoriti tidak boleh mengatasi ketetapan tuhan. Tetapi hakikat yang wajib diterima adalah, mengambil kira suara majoriti juga adalah konsep syura dalam Islam.

Peristiwa pelantikan khalifah-khalifah ar-Rasyidin. Semuanya tidak dilakukan secara veto daripada mana-mana sahabat. Sebaliknya mereka mengguna kaedah suara majoriti. Saidina Umar mencalonkan Abu Bakar, kemudian diserahkan kepada orang Islam teramai hak untuk berbaiah. Majoriti orang Islam memilih Abu Bakar, lalu jadilah beliau khalifah pertama yang sah.

Saidina Abu Bakar memanggil Ahl Hil wal Aqd untuk membincangkan penggantinya. Mereka bersetuju Saidina Umar. Lalu Abu Bakar lontarkan kepada umat Islam pelantikan Umar. Majoriti setuju dengan cadangan tersebut.

Dalam pelantikan Saidina Uthman, berlaku pertandingan antara beliau dan Saidina Ali. Tetapi majoriti memihak kepada Saidina Uthman. Pelantikan Saidina Ali selepas Uthman terbunuh juga dikira sah selepas majoriti orang Islam memberi baiah kepada Ali, walaupun penyokong saidina Muawiyah tidak berbaiah.

Apa yang perlu difahami ialah, syura itu lebih mirip kepada demokrasi tetapi sangat berbeza dengan sistem diktator dan teokrasi. Sistem diktator meletakkan hak memutus mutlak kepada individu atau kumpulan tertentu sahaja tanpa memberi hak kepada individu lain. Tidak ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh pemimpin sebagaimana yang dipatuhi oleh rakyat.

Teokrasi pula meletakkan hak pemutus kepada golongan agama yang diiktiraf semata-mata tanpa memberi peluang kepada hak individu. Teokrasi menjadikan apa sahaja golongan agama itu buat adalah benar walaupun bercanggah dengan ajaran agama sendiri. Seolah-olah mereka tuhan.

Seringkali pejuang Islam tersilap dalam mengamalkan konsep syura. Pertama mereka menafikan terus nilai-nilai demokrasi. Kedua mereka secara tidak sedar mengamalkan diktatorship dan teokrasi.
PAS memperkenalkan BPMS sebagai budaya politik baru yang perlu diterapkan oleh ahli dan seluruh rakyat Malaysia bagi menuju ke arah negara yang lebih maju. Antara ciri-ciri BPMS adalah politik berasaskan ilmu.

Justeru konsep syura perlu difahami dengan lebih mendalam dan ilmiah, dari segi teori dan praktikalnya dalam sistem politik negara. Interpretasi dan implimentasi yang salah terhadap syura akan membawa masyarakat tersalah anggap terhadap ajaran Islam yang hakikatnya terbaik sepanjang zaman. – HARAKAHDAILY 23/4/2017

- Advertisement -