SEBAGAI negara pengeluar minyak kerajaan perlu memikirkan mekanisme harga yang kompetitif yang tidak membebankan rakyat dan jauh lebih murah, demikian menurut AJK PAS Pusat Muhtar Suhaili.
Tambahnya, subsidi yang pernah diberi sebelum ini dapat diguna pakai dengan kerajaan menstruktur semula perbelanjaan berasaskan keutamaan (priority) dengan menjadikan kebajikan Rakyat terbanyak sebagai agenda utama.
“Hasil negara daripada cukai seperti GST yang diperkenalkan sewajarnya memberi ruang kepada kerajaan untuk menambahbaik mutu kehidupan Rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.
Secara asasnya, jelas beliau harga minyak dunia turun naik dan berubah-buah dari semasa ke semasa berdasarkan permintaan dan penawaran serta faktor-faktor yang mempengaruhi pasaran.
“Penetapan harga siling adalah disokong cuma menetapkan harga siling secara tahunan agak sukar kerana faktor-faktor pemboleh ubah yang disebut itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas kaedah yang digunakan kerajaan iaitu menetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan bermula 29 Mac lalu dilihat sudah mula memberi kesan terhadap pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.
Walaupun pengguna menikmati penjimatan sebanyak 17 sen (bagi RON95) pada minggu pertama, namun harga runcit bahan api itu telah meningkat sebanyak 11 sen hanya dalam tempoh 3 minggu sahaja; lebih cepat berbanding penetapan secara bulanan.
“Sekiranya tiada mekanisme kawalan dilaksanakan, beban kos sara hidup rakyat di negara ini akan semakin bertambah dengan lebih cepat lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/4/2017