KECOH di Pasar Payang semalam operasi MBKT merampas dan membuka kanopi peniaga. GANTI telah berhubung Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja di situ bagi mendapat gambaran isu apa dan kenapa begitu operasi yang kelihatan keras kepada peniaga.
Berikut respon awal yang saya terima;
“Untuk Makluman. Tempat baru sudah disediakan. Tempat orang jual durian. Tetapi peniaga ini masih berdegil dan MBKT sudah beri notis larangan berniaga disitu. Perobohan dibuat setelah peniaga ini berdegil dan masih meneruskan perniagaan di situ. Harap maklum.”
Saya percaya jika siapapun mentadbir negeri pasti akan ada peraturannya bertujuan menyusun agar ruang niaga teratur, menarik dan memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga. Ia perlu adil kepada semua pihak.
Adanya respon persatuan, menggambarkan tindakan MBKT adalah secara konsensus, dipersetujui warga Pasar Payang sendiri setelah nasihat, notis dan peringatan yang munasabah dan adil diberikan kepada yang terlibat.
Sementelah lagi ruang baru dikatakan sudah disediakan.
Jika notis sudah ada, tempat baru ganti berniaga yang munasabah telah disediakan, MBKT pada pandangan GANTI telah melaksanakan amanah kewajipannya.
Melainkan maklumat ini tidak benar, GANTI sentiasa akan berada pada posisi menuntut perubahan yang lebih baik untuk negeri dan rakyat.
AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
20 April 2017 – HARAKAHDAILY 20/4/2017