Muktamar: Jabatan Amal beri kerjasama kepada polis

- Advertisement -

SEMPENA Muktamar Tahunan PAS dan dewan-dewan pada hujung bulan ini, pihak urusetia muktamar dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, semalam bagi membincangkan pergerakan lalu lintas dan keselamatan semasa muktamar nanti.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah 2  Bahagian Pelapis JAM, Zulkifli Muhyidin yang mewakili Amal Malaysia telah menyatakan persetujuan untuk memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang  muktamar itu nanti terutamanya dalam isu keselamatan dan lalu lintas.

ACP Rozi dalam pertemuan tersebut secara tidak langsung telah mengiktiraf peranan dan tugasan Jabatan Amal yang banyak membantu pihak polis sebelum ini.

Beliau yang baru sahaja ditugaskan di Kota Setar berharap kerjasama yang dibuat sebelum ini dapat diteruskan demi memastikan program berjalan dengan aman dan terkawal.

Bagi pihak Jabatan Amal Malaysia, Zulkifli mengharapkan seluruh anggota Amal yang akan hadir bertugas di Kota Sarang Semut nanti dapat memberikan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa terutamanya dalam mengawal lalu lintas sepanjang jalan di Batu 9 itu.

Pemimpin PAS yang hadir merasakan banyak perubahan telah berlaku dalam hubungan parti dengan agensi kerajaan masa kini, tidak menafikan kerjasama yang sudah lama dibentuk ini semakin mudah hasil dari Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dibawa sendiri oleh Presiden PAS.

Melalui dasar baharu Ketua Pengarah JAM, Nazree Mohd Aris yang telah banyak memberi penekanan mengenai disiplin dan keterampilan anggota,  sekali lagi menyeru seluruh anggota Amal dapat memberi komitmen yang terbaik dan mematuhi etika pemakaian Amal semasa bertugas supaya dapat menyempurnakan izzah Jabatan Amal di mata masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/4/2017

- Advertisement -