TUAN Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) adalah susuk tubuh yang sangat hebat, disegani kawan dan lawan. Tutur katanya yang tenang penuh hikmah berselang-seli dengan nas Quran dan Hadis Nabi SAW jujur dari dalam dirinya menusuk ke dalam jiwa pendengar.
Akhlak dan tingkah laku yang sopan juga menarik minat sesiapa sahaja yang melihatnya. Kehidupannya yang begitu sederhana sudah cukup menggambarkan keperibadiannya yang tinggi.
Di sebalik susuk tubuh kecil ini tertanam satu cita-cita yang membara iaitu untuk melihat bumi bertuah ini memartabatkan Islam ditempatnya yang sebenar. Bukti kesungguhan beliau ketika menjadi Menteri Mesar Kelantan beliau telah menubuhkan jawatankuasa penggubal undang undang Islam yang dianggotai oleh tokoh dan pakar perundangan Islam ke arah mempraktikkan undang undang Islam.
Malangnya usaha murni ini disambut dengan amaran keras oleh Perdana Menteri ketika iaitu Dr Mahathir yang mengancam untuk mengambil tindakan sekiranya Kelantan melaksanakan undang undang Islam.
TGNA pernah dengan tegas menyatakan pendiriannya untuk meneruskan memartabatkan undang-undang Islam walaupun DAP menentangnya sehingga berakhir dengan DAP keluar daripada gabungan pembangkang. Beliau tidak pernah seketika pun berundur daripada memperjuangkannya sehingga ke akhir hayatnya.
Kerja memperjuangkan Islam ini tidak pernah terhenti bahkan terus menjadi dasar yang terus diperjuangkan dan tidak pernah berubah dalam parti PAS. PAS kekal sebuah parti yang terus berdakwah kedalam masyarakat berbilang bangsa dan agama, berpolitik dengan kaedah matang dan sejahtera serta mentarbiyah para ahlinya.
PAS sentiasa menghargai semua golongan di dalamnya sama ada miskin atau kaya, tua atau muda apatah lagi agamawan mahupun profesional, semua berganding bahu bekerja untuk Islam. Kalau ada dakwaan pihak tertentu yang menyatakan PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (TGHH) jauh daripada apa yang dibawa oleh TGNA maka ini adalah tuduhan yang sangat terpesong jauh.
Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sendiri begitu prihatin kepada golongan non-Muslim bahkan banyak menghadiri aktiviti bersama dengan mereka. Ada pula yang berhujah menggunakan nama TGNA bagi menghalalkan tindakan mereka menubuhkan parti baru, kononnya kepimpinan yang ada sekarang sudah terpesong dari cara yang dibawa TGNA.
Mereka cuba melaga-lagakan TGHH dan TGNA ketika almarhum masih hidup. Walaupun pelbagai cara digunakan, kedua-dua tokoh penting PAS ini tidak mudah melatah bahkan hubungan akrab diantara mereka berdua menjadi semakin jitu.
Tidakkah mereka sedar bahawa TGNA kekal istiqamah bersama dengan PAS sehingga ke akhir hayatnya, sentiasa berada disisi TGHH memberi kata nasihat dan semangat serta dorongan untuk terus teguh memperjuangkan Islam dibumi bertuah ini? Renungkan. – HARAKAHDAILY 20/4/4/2017
Penulis ialah Ketua Penerangan, PAS Kawasan Kuala Terengganu.