Selangor alukan Persekutuan contohi Smart Sewa

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Selangor mengalu-alukan skim sewa dan menyimpan Kerajaan Persekutuan yang mencontohi Skim Smart Sewa Milik Kerajaan Negeri Selangor.

- Advertisement -

Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan skim tersebut semasa majlis pecah tanah projek perumahan Sungai Udang di Setapak, Kuala Lumpur.

Beliau telah mengumumkan kediaman di projek tersebut akan disewa kepada rakyat dan sebahagian dari sewa yang dibayar akan dipulangkan kepada mereka selepas 5 tahun.

Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan skim yang sama pada bulan Oktober tahun lepas. Di bawah skim tersebut yang dinamakan Smart Sewa, penyewa akan dipulangkan 30 peratus dari sewa yang dibayar selepas kontrak sewaan mereka tamat.

Menteri Besar Selangor pada Sidang Dewan Negeri Oktober lepas telah mengumumkan RM100 juta akan dibelanjakan dalam tahun 2017 untuk membeli Rumah Selangorku yang akan disewakan.

Ketika itu terdapat 100 rumah yang boleh disewakan di bawah skim ini. Tetapi pada bulan Januari tahun ini 260 unit Rumah Selangorku telah dikenal pasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta.

Kerajaan negeri berharap skim Kerajaan Persekutuan akan berjaya dan bersedia berkongsi pengalaman dengan mereka demi kebaikan rakyat.

Sejak 2008, kerajaan negeri telah menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat sama ada dalam sektor perumahan atau sektor-sektor lain.

Di antaranya adalah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA. Skim ini merupakan skim baik pulih pangsapuri melalui perkongsian kos di antara penduduk dan kerajaan negeri.

Sejak mula dilaksanakan skim CERIA, lebih RM72 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk kerja-kerja membaikpulih. Ia merangkumi 223 pembangunan pangsapuri.

Kerajaan Persekutuan mempunyai skim yang sama iaitu Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

Walaupun Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sering mempertikaikan peranan kerajaan negeri tetapi pelancaran skim Kerajaan Persekutuan yang mirip skim kerajaan negeri ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha kerajaan negeri.

YB Datuk Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
18 April 2017 – HARAKAHDAILY 18/4/2017

- Advertisement -