DEWAN Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang berat penyiaran karikatur lukisan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh saudara Fahmi Reza seperti monyet dan menghina pakaian serban.
Penyiaran karikatur menerusi Facebook pada 13 April lalu dinilai tidak sensitif terhadap sentimen semasa dan dikhuatiri hanya akan memanjangkan polemik tersebut dan menjadikan perbalahan berpanjangan di kalangan yang menentang dan bersetuju. Apatah lagi ianya turut disebarkan sama oleh Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kulai, Johor seolah menghina Ahli Parlimen Marang.
Islam sangat meraikan hak kebebasan bersuara dan bertindak, tetapi ianya perlulah menepati garis panduan syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.
Mengambil kesempatan ini, DPPNT juga menggesa semua pengguna media sosial untuk menjaga tutur kata dalam komentar terutama sekali membabitkan isu semasa. Mereka seharus menampilkan sikap dan perilaku sebagai anak muda yang sopan kerana ia akan diteladani dan serta memberi kesan kepada pembangunan moral generasi muda.
Akhir sekali, DPPNT menggesa tindakan sewajarnya dapat diberikan kepada mereka yang melakukan kebiadapan tersebut dan menjadikannya pengajaran kepada pihak lain jangan mengulanginya.
ANAK MUDA TOLAK POLITIK KETERLALUAN.
BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT
YB USTAZ HILMI HARUN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU
16 April 2017