Celik huruf tinggi tetapi gagal celik budaya

- Advertisement -

MAPIM berpendapat bahawa sistem pendidikan negara yang ada sekarang gagal dalam menerapkan tahap celik budaya dikalangan generasi muda antara kaum dan agama yang berkesan.

- Advertisement -

Akibatnya kerenggangan perpaduan nasional semakin jelas. Polarisasi antara kaum bermula dari bangku sekolah dan natijahnya ialah semangat kekitaan dan perpaduan semakin lusuh.

Sistem pendidikan Malaysia boleh dibanggakan dari segi celik huruf. Tahap literasi Malaysia mencapai 92.5%  iaitu setaraf dengan Turki dan Russia.

Akan tetapi sistem pendidikan Malaysia masih tertinggal dari segi celik budaya. Ini dapat dilihat betapa berbudaya hanya dilihat secara kosmetik dalam acara pementasan untuk diperagakan sebagai produk pelancongan. Bukan sebagai suatu gaya hidup yang berfungsi dalam kehidupan seharian. Natijahnya, budaya luar yang asing dan bertentangan dengan budaya tempatan menguasai generasi muda.

Budaya Malaysia yang berlatarbelakang pelbagai kaum dan agama merupakan cabaran paling berat dalam sistem pendidikan negara. Tercapainya kemerdekaan adalah kesediaan dari kaum bumiputera untuk menerima pendatang dari luar untuk mendapat kerakyatan di bumi Melayu dan kini generasi muda dari semua kaum yang lahir selepas merdeka diiktiraf dan diterima sebagai warga negara.

Istimewanya di negara ini ialah kaum dari luar yang dibenar hidup dan mendapat kerakyatan di negara ini tidak dijadi objek asimilasi. Budaya hidup, bahasa dan adat resam dibenarkan berfungsi dan menjadi integral dalam Budaya Kebangsaan yang berteraskan budaya rakyat tempatan bumiputera berbangsa Melayu. Ini tidak berlaku di negara- negara jiran.

Akibat perubahan pendedahan generasi muda kepada pelbagai pengaruh media sosial dan impak globalisasi budaya serta ujudnya polarisasi kaum yang semakin tajam, sistem pendidikan kelihatan tidak mampu menerapkan perpaduan nasional yang diharapkan. Wujudnya kebangkitan semula sentimen perkauman akibat persaingan politik telah mengenepikan apa yang cuba dibina didalam sistem pendidikan negara.

Sekolah pelbagai aliran tidak dilihat sebagai pelengkap dan pengkayaan dalam sistem pendidikan tetapi dilihat sebagai pesaing untuk meraih undi dan menuntut hak kaum atas nama demokrasi.

Mangsanya ialah perpaduan antara kaum dan keharmonian antara agama.

Penilaian semula sistem pendidikan yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyentuh soal keperluan meneliti sama ada sistem pendidikan yang ada sekarang berjaya melahirkan perpaduan nasional atau sebaliknya.

Kami berpendapat seluruh rakyat dan mereka yang terlibat dalam pembangunan sistem pendidikan perlu jujur untuk bertanya sama ada negara ini mahu menjadi sebuah negara yang akhirnya runtuh akibat keretakkan perhubungan antara kaum atau menjadi sebuah negara model berdasarkan kesepakatan antara kaum dan semangat saling menghormati budaya dan adat sesama rakyat.

Inilah yang sepatutnya menjadi fokus penilaian sistem pendidikan dalam perbahasan mengenai isu kepelbagaian aliran sekolah yang ada dalam negara sekarang.

Adalah malang jika isu ini dilihat dari sudut kepentingan politik. Pendidikan adalah nadi kepada pembangunan dan masa depan negara. Jika semua pihak melihat dari kaca mata perkauman, pencapaian negara selama ini bakal terhakis dan matlamat asal penjajah untuk mengguna strategi ” pecah dan perintah” akan kembali bertapak di negara ini. – HARAKAHDAILY 16/4/2017

- Advertisement -