RUU 355: Provokasi Ni Ching gugat keharmonian

- Advertisement -

AHLI Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyerlahkan kebiadaban, kebencian dan permusuhan diri dan parti diwakilinya iaitu DAP apabila secara angkuh terus melanjutkan penghinaan ke atas Presiden PAS menerusi karikatur terbaru karya Fahmi Reza yang dikongsi di laman rasmi ‘facebook’ beliau.

- Advertisement -

Walaupun provokatif dimulakan Nanyang Siang Pau minggu lalu itu telah disusuli permohonan maaf oleh akhbar berkenaan, namun seperti dijangka ianya akan berentetan dan kini pihak-pihak terbabit merekayasa atas nama kebebasan yang sebenarnya melindungi agenda mereka.

Bermakna mereka memandang enteng bantahan dan amaran yang telah dizahirkan umat Islam kerana penghinaan itu adalah terjemahan penentangan DAP dan sekutunya kepada usaha memartabatkan agenda Islam khususnya dilakukan Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang menerusi RUU Pindaan Akta 355.

Apakah setelah gagal di Dewan Rakyat, kini DAP berkesumat secara bebal dan tidak matang dengan meluaskan penghinaan seperti itu? Apakah kesombongan itu wajar dengan mengusik sensitiviti agama dan menyemarakkan api kemarahan? Mahukah ketenteraman awam digadai oleh ketegangan kaum gara-gara persepsi ini?

Kalian harus belajar, akui dan insaf untuk mengambil pengajaran bahawa tindak balas ekstrem adalah kemungkinan yang sentiasa wujud. Tetapi jangan dikejutkan dari tidurnya oleh tindakan emosi kalian cetuskan. Banyak pemikiran di luar sana yang lebih bebas radikalisme ekspresi dan satiranya.

Kami bimbang ianya bukan sahaja menimpa kamu, malah menjadi beban kepada kita semua. Jangan digugat keharmonian kita bersama yang telah berusia lebih enam dekad. Juga jangan hancurkan ianya dengan mudah semata-mata perkara yang tidak dipersetujui.

Sedangkan RUU355 adalah hak umat Islam dan ianya selaras dengen keluhuran undang-undang. Menggoncangnya secara tidak bertatasusila dan kesopanan hanyalah menzahirkan motif buruk kalian kepada perlembagaan, raja dan negara ini yang telah menjadikan Islam sebagai naungannya.

Kami menggesa Nie Ching memohon maaf dengan jujur tulus ikhlas dan menyesali perbuatannya, serta segera memadamkan karikatur tersebut dalam tempoh 24 jam. Ini bukan masa keseronokan, tetapi keingkaran anda akan menempuh sekurang-kurangnya tindakan perundangan.

JUWAHIR AMIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 15/4/2017

- Advertisement -