Ganti alu pembinaan kompleks SPRM terbesar

- Advertisement -

SAYA mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana akhirnya projek pembinaan kompleks SPRM yang terbesar ini terlaksana di Kampung Melintang, Wakaf Beruas, Mukim Kubang Parit, Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Empat tahun lalu sebagai Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) saya pernah menuntut supaya ‘kewujudan’ SPRM lebih dirasai di Negeri Terengganu Darul Iman ini dengan kompleks yang lebih besar, pasukan yang lebih besar, pengarah yang lebih punya kuasa bertindak sama ada oleh pangkatnya atau karakter peribadinya yang berjuang memerangi rasuah.

Hal ini kerana SPRM Terengganu ketika ini dilihat kecil, cuma menumpang tingkat bawah dan setingkat di atas Bangunan Wisma Persekutuan, bangunan yang tua usianya. Kerana itu kehadiran SPRM tak disedari rakyat Terengganu.

Kelantan yang ditadbir oleh PAS, walaupun tiada kes rasuah yang melibatkan pemimpin negeri, pentadbiran yang bersih, boleh gah dengan kehadiran bangunan SPRM yang hebat.

Keadaan sifar rasuah di Kelantan saya percaya oleh adanya komitmen pentadbiran PAS sejak Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang sangat bekerja rapat dengan SPRM yang kini diteruskan lagi oleh Datuk Ahmad Yaakob MB Kelantan.

Terengganu berbelanja lebih RM2 billion setiap tahun. Banyak projek mega bernilai ratusan juta dilaksanakan dengan jumlah perbelanjaan berbillion wang negeri Terengganu.

Namun malangnya perbelanjaan besar ini melibatkan pelbagai kegagalan yang merugikan rakyat dan negeri.

Pembinaan Stadium Sultan Mizan yang telah runtuh dua kali sampai kini masih tidak berganti bumbung yang dianggarkan perlukan lebih RM100 juta ringgit lagi. Taman Ilmu yang terbengkalai dengan laporan Malay Mail menyebut angka lebih RM700 juta. Pelbagai kemudahan yang telah dilaburkan untuk acara Monsun Cup bernilai mencecah RM1 billion. Strawberry Park (ubah suai jadi Institut Jantung, gagal), Kompleks Tekstil yang gagal, Zoo Bukit Takal, Taman Burung, Taman Rama-Rama, Sekolah Menengah Alor Limbat, Projek E Book yang menelan ratusan juta ringgit, projek pertanian seperti fertigasi, Kaprima, agrotech.

Itu belum Projek Pulau Bebas Cukai bernilai mencecah RM200 juta setakat ini yang kelihatannya bakal menjadi kegagalan yang sangat merugikan.

Semua ini mustahil gagal begitu sahaja tanpa adanya berpunca dari gabungan kelemahan, kepincangan, kesalahan di pelbagai peringkat pembuatan keputusan dan pelaksanaan kerajaan.

Pelbagai laporan SPRM pernah dibuat. Antara lain isu konsesi balak yang melibatkan arahan bayaran fee tertentu kepada peguam yang dinamakan untuk beberapa penerima konsesi, isu pembelian Bangunan untuk pelajar di Mansoura, Mesir, isu berkait perlombongan bijih besi di Bukit Besi, isu Banggol Donas berkaitan pembinaan jalan susur Banggol Tuan Muda.

Isu Banggol Donas sebanyak tiga laporan SPRM telah dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh Embong. GANTI terlibat sama memperjuangkan hak pemilik tanah yang menjadi mangsa.

Namun dalam keadaan pelbagai laporan dibuat kepada SPRM, dalam keadaan rakyat boleh melihat dengan mata lendir mereka pembaziran beratus juta daripada pelbagai kegagalan projek yang tersergam besar bangunan bangunan yang gagal dimanfaatkan seperti dijanjikan, SPRM tidak dilihat pernah membongkar apa-apa salah laku dalam kerajaan Terengganu.

Seolah-olah segala kerugian yang besar itu bukan salah sesiapa! Itu yang rakyat pelik. Tiada siapa boleh percaya kerajaan ini bersih. Rakyat di bawah bercakap merata-rata dan menjadi buah mulut tentang permainan wang dan kuasa orang-orang politik Umno di Terengganu yang kaya raya belaka sekarang.

Saya harap apabila kompleks SPRM yang begitu luas dan besar ini siap nanti, janganlah bangunan sahaja yang hebat. Bawakan sekali pasukan pegawai dan kakitangan yang hebat untuk bersihkan negeri Terengganu ini daripada rasuah.

Kalau perlu, biar Ketua Pengarah SPRM beribu pejabat di sini pun tak apa.

Negeri Terengganu dengan sumber petroleum berbillion setiap tahun sepatutnya menjadi negeri paling maju, membangun, cukup infrastrukturnya, baik pengangkutannya, air dan elektrik yang sempurna, jalur lebar internet, jika wang negeri diurus secara yang hemah dan ada akauntabiliti.

Tun Mahathir menyekat bayaran lima peratus Royalti Petroleum Terengganu bernilai berbillion kepada Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS ketika dulu dengan memberi alasan wang itu akan diselewengkan PAS.

Sedangkan apa yang berlaku ternyata sebaliknya. Kerajaan PAS Terengganu dengan pendapatan yang dicari sendiri tanpa royalti petroleum (kerana dikhianati Kerajaan Pusat) mampu berdikari. Sempurna memerintah selama sepenggal tanpa tunggakan hutang malah meninggalkan simpanan beratus juta ringgit.

Sebaliknya Umno yang memerintah dengan berbillion peruntukan tetap tidak pernah cukup wang berkenaan malah terpaksa menanggung hutang pula dengan kerajaan Pusat.

Setelah adanya pasukan SPRM yang sebesar ini di Terengganu, Kerajaan Pusat tidak berhak lagi memberi alasan untuk menahan peruntukan pembangunan yang adil dan berterusan kepada Negeri Terengganu.
Bayaran royalti petroleum adalah hak Terengganu sampai kiamat walau dikhianati kerajaan Pusat dengan bantuan boneka pemimpinnya daripada kalangan pemimpin Umno Terengganu sendiri.

Jika selepas PRU 14, PAS menang di Terengganu, SPRM akan jadi sahabat terbaik Kerajaan Terengganu yang sentiasa akan diajak membantu memperbaiki intergriti urus tadbir negeri dalam rangka membanteras gejala rasuah.

Prinsip Islam yang dijulang PAS bermatlamat membentuk kerajaan yang tunduk kepada perintah Tuhan. Tahu dosa dan pahala, Halal dan Haram,

Saya sendiri sangat teruja dengan duduknya kompleks ini di sekitar kampung saya sendiri.

Insya-Allah saya dan GANTI akan jadi sahabat baik kepada SPRM. Roti Canai, Kopi O setiap pagi di Kafeteria SPRM yang baru pun tak apa.

Semoga Terengganu akan lebih gemilang dan keluar daripada bayangan gelap ketinggalan pada masa hadapan. Menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Terengganu untuk bersama tuntut perubahan.

AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
16hb April 2017 – HARAKAHDAILY 16/4/2017

- Advertisement -