Puluhan tahun sudah Tok Guru mencurah ilmu

- Advertisement -

PULUHAN tahun sudah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjadikan sebuah perkampungan nelayan di tepi Pantai Marang, Terengganu sebagai medan ilmu yang meriah setiap pagi Jumaat.

- Advertisement -

Malah tak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Kuliah Pagi Jumaat di Masjid Rusila adalah Kuliah Pagi Jumaat yang paling berjaya dan paling lama bertahan secara istiqamah di Malaysia.

Pekarangan Masjid Rusila akan berubah menjadi seperti pekan sehari bersaiz besar setiap pagi Jumaat.

Jam 9.00 pagi, Tok Guru akan setia menuruni tangga kayu rumahnya menuju ke Masjid Rusila demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ulama pemimpin ummah.

Rutin ini bermula dari pertengahan tahun 70-an lagi ketika sebahagian besar yang mencerca dan menghina Tok Guru sekarang belum lahir ke dunia.

Saya mula berkesempatan menumpang khazanah ilmu Tok Guru di Masjid Rusila pada akhir 80-an dan 90-an. Sungguh saya rasa sangat bertuah.

Pada tahun 1990, usai kuliah pagi Jumaat suatu hari, saya memberanikan diri memijak anak tangga rumah kayu Tok Guru untuk menziarahi seorang tokoh yang sangat saya kagumi ini.

Ternyata Tok Guru yang tegas di pentas ceramah adalah seorang yang sangat pengasih dan lemah lembut tutur katanya. Tok Guru sendiri yang hidangkan air dan bawa buah rambutan kepada saya walau ketika itu saya hanyalah seorang pelajar tingkatan 5.

Pelbagai kitab ilmu Tok Guru ajar. Dari kitab Mustika Hadis, Aqidah Muslimin, Sirah dan Tafsir. Tafsir al-Quran dah 2 kali khatam Tok Guru mengajar kuliah setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila. Dari zaman tali kaset sehingga zaman CD sampai terkini zaman siaran langsung guna fb.

Betapa luasnya lautan ilmu yang telah Tok Guru curahkan kepada khalayak yang ingin mengambil manfaat. Tapi akhirnya dari sebegitu banyak ilmu dan hikmah yang Tok Guru lantunkan melalui corong pembesar suara Masjid Rusila, kalimah ‘tahik’ juga yang kamu minat.

Benarlah kata pujangga, seekor lalat yang pergi ke sebuah taman bunga yang indah penuh dengan bunga-bungaan tetap akan mencari najis, sampah sarap atau bangkai untuk ia hinggap. Tetapi seekor lebah akan tetap mencari sekuntum bunga untuk disinggahi dan dihisap madunya walau persekitarannya bukan taman yang indah. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

- Advertisement -