Transkrip ucapan TGAH di Dewan Tok Guru, Rusila

- Advertisement -

FIRMAN Allah, kata Allah,

- Advertisement -

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu wahai Muhammad SAW akan kitab al-Quran membawa kebenaran supaya engkau menghukum, menghakimi manusia dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Allah, dan janganlah kamu menjadi penolong kepada orang-orang yang khianat.” (an-Nisa’: 105)

Saya hanya satu mata rantai daripada mereka yang mendahului kita yang sudah meninggal dunia, yang sudah berjuang untuk menegakkan Islam. Kebetulan Negeri Terengganu Negeri kita ini adalah Negeri yang paling akhir sekali dihapuskan kuasa Syariat Islam tahun 1928. Dan Negeri yang pertama dimenangi Parti Islam Se-Malaysia PAS tahun 1959, lepas itu baru Kelantan, Negeri yang pertama PAS menang.

Kita menempa sejarah, alhamdulillah, saya telah diberi kepercayaan pertama-tama oleh pemimpin-pemimpin PAS, dan termasuk pemimpin-pemimpin Islam dalam kerajaan, termasuk pengamal undang-undang, memberi kepercayaan untuk saya membawa usul persendirian Rang Undang-Undang 355 yang berkait untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang direndahkan di zaman penjajah, belum lagi kuasa untuk melaksanakan syariat kerana kuasa untuk melaksanakan syariat ini sepenuhnya memerlukan kita meminda 76A Perlembagaan yang memastikan majoriti 2/3 ahli-ahli Parlimen.

Akibat daripada kesalahan pemimpin-pemimpin yang lalu yang memerintah negara, hari ini jumlah ahli Parlimen Islam tidak mencukupi 2/3 menjadikan halangan-halangan lebih banyak. Sejak awal kita mencapai kemerdekaan, kita menghadapi gelombang kejahilan umat Islam yang mewarisi serangan pemikiran zaman penjajah.

Banyak kalangan orang Islam berfahaman politik suku agama suku. Syariat Islam hanya hukum-hukum ibadat, nikah kahwin, bahagi harta pusaka, harta wakaf sahaja, tak ada undang-undang yang lain padahal Islam adalah ugama yang sempurna.

Walau bagaimanapun apabila kita nak mencapai kemerdekaan, British sudah menubuhkan Suruhanjaya Reid, pengerusinya Lord Reid untuk menyediakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Malangnya anggota Suruhanjaya Reid dipengerusi oleh Lord Reid, tidak ada seorang pun penduduk negeri ini yang jadi ahli dia, semua daripada British, Australia, New Zealand, India, Pakistan. India, Pakistan yang namanya Islam, tapi kepala dan otaknya orang putih. Merekalah yang menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun kumpulan Islam, PAS hanya satu kerusi sahaja, menang dalam Pilihan Raya 1955, 52 kerusi, PAS menang satu kerusi sahaja, Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. Yang lain semuanya 51 itu Umno, MCA, dan MIC, Perikatan di masa itu.

Apabila wakil ahli-ahli Parlimen menemui Suruhanjaya Reid untuk berunding, PAS dan beberapa kumpulan Islam tanpa dinafikan termasuk juga kumpulan Islam yang ada dalam Umno, telah menyediakan memorandum, mendesak supaya diletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya Reid telah berbahas, setelah dibahas, ini disebut dalam minit mesyuarat yang masih disimpan di arkib negara, pengkaji-pengkaji undang-undang dapat membacanya, akhirnya mereka menerima memorandum ini, bersetuju untuk meletakkan Islam adalah agama Persekutuan, apa yang tak ada dalam Perlembagaan Indonesia, Perlembagaan India, Perlembagaan negara lain, ini jasa mereka yang terdahulu, dengan mereka meninggalkan huraian, adakah Malaysia negara Sekular atau negara Islam, itu serah kepada orang kemudian.

Tetapi Suruhanjaya Reid berfahaman agama daripada terjemahan Bahasa Inggeris, Religion bukannya Ad-Din daripada bahasa Arab, mereka biarkan. Hikmatnya memberi peluang kepada kita berjuang untuk mengisi perlembagaan ini dengan menegakkan syariat Islam.

Peringkat awal mencapai kemerdekaan. Oleh sebab orang-orang Melayu termasuk pemimpin-pemimpin mereka tebal dengan fahaman penjajah, mereka tak tahu di dalam Islam ini ada macam-macam undang-undang. Maka PAS dituduh mengada-ngada dalam perkara ini sehingga terdapat kalangan pemimpin negara yang mengatakan, kalau ikut Islam macam PAS bawa, huru-hara negeri, hukum Hudud tak boleh diamalkan, hukum Hudud zalim, mereka tak tahu ini hukum Allah Taala.

Timbullah isu kafir mengkafir berbalah antara sama-sama Islam di masa itu, perbalahan yang sangat tajam. Namun kita kena sedar di dalam kejahilan ini masih ada iman yang halus dalam diri masing-masing. Macam disebut oleh Nabi SAW,

“Barangsiapa yang ada dalam dirinya tiga perkara, menandakan kemanisan iman ada dalam diri dia.”

Yang pertama dia kasih kepada Allah dan Rasul.
Yang kedua kasih kepada orang Islam.
Yang ketiga benci kepada kufur.

Kita menyaksikan bagaimana mereka yang menghina Islam itu, marah bila kita kata dia kafir kufur, ini menandakan Halawatul Iman masih ada dalam diri (mereka) yang kita kena sedar, dalam diri mereka. PAS tidak gopoh di masa itu, kita tidak bawa usul untuk melaksanakan syariat, PAS mengambil pendekatan dakwah dengan penuh kesabaran walaupun ada ulama-ulama PAS yang kena tahan dalam ISA, dipenjara, dibuang daerah, kita sabar, dan ada yang mati pun, kita sabar.

Sehingga tahun 1969, berlaku peristiwa 13 Mei. PAS diajak menyertai kerajaan, PAS masuk kerajaan campuran, kemudian kerajaan Barisan Nasional termasuk Datuk Mustafa Ali salah seorang anggota kabinet dalam kerajaan di masa itu. Datuk Asri Almarhum, Hassan Ali Almarhum, Yussof Rawa Almarhum dan lain-lain lagi. Kita telah membawa suara Islam dalam kerajaan. Hasilnya menimbulkan kesedaran untuk balik kepada Islam dalam jentera-jentera kerajaan, menyebabkan timbulnya pertembungan di antara aliran yang mahu kepada Islam dengan ajaran yang tak mahu kepada Islam, berakhir dengan PAS dipecat daripada Barisan Nasional tahun 1979.

Adapun krisis di Kelantan, itu cari sebab sahaja. Perpecahan kerana pertembungan antara kumpulan yang mahu menegakkan Islam dengan yang tak mahu menegakkan Islam, itu sebenarnya. Ketua yang tak setuju dengan Islam masih hidup lagi pada hari ini, masih hidup lagi, tuhan panjangkan umur dia, masih hidup lagi. Berakhir, oleh kerana saya nak ambil masa yang ringkas, sampai ke peringkat orang Islam dalam Parlimen tak sampai Majoriti 2/3.

Walaupun demikian ketika saya masuk dalam Parlimen tahun 1990, parti telah menugaskan saya untuk membawa Usul Persendirian di Parlimen, supaya dibincangkan 76A dan 355 sekaligus untuk membolehkan syariat Islam dilaksanakan. Apabila kita telah meluluskan Undang-Undang Jenayah Syariat Negeri Kelantan.

Tetapi, untuk membolehkan usul oleh seorang yang bukan kerajaan, memerlukan syarat-syarat yang banyak mengikut badan pertubuhan Parlimen. Di antaranya, Parlimen hendaklah bersidang mendahulukan agenda-agenda kerajaan dulu, bila habis agenda kerajaan baru lah usul kita boleh dibawa. Kebiasaanya agenda kerajaan sampai tiga (ke) 40 agenda, dia letak usul kita nombor 40, nombor 30, 20 sudah habis masa. Ini yang pertama.

Yang kedua usul seseorang ahli Parlimen yang bukan kerajaan tidak diizinkan melainkan dengan syarat, syaratnya mestilah seorang Ahli Menteri Kabinet membawa usul di Parlimen untuk mengizinkan usul Ahli Parlimen Marang dibenarkan untuk dibahas. Setelah disokong oleh seorang Menteri Kabinet, baru lah boleh dibawa usul di Parlimen. Oleh sebab tangga yang pertama sudah tak berjaya, yang kedua lebih tak berjaya lagi.

Sehingga kita mengambil pendekatan pada akhirnya, mengadakan perundingan di antara kerajaan Negeri Kelantan dengan kerajaan pusat. Pemimpin PAS dengan pemimpin Barisan Nasional yang Islam, berunding. Orang DAP tanya, dalam perbahasan Parlimen Bajet yang lalu, saya sudah bawa 355 ini, DAP mempertikaikan kerana PAS berunding dengan Umno. Saya kata, tak boleh ke PAS berunding dengan Umno kerana untuk melaksanakan Syariat? Kerajaan Pulau Pinang boleh berunding untuk bahas pasal jambatan Pulau Pinang, DAP boleh bincang untuk projek Pulau Pinang, kita tak boleh nak bincang untuk nak laksanakan Syariat, tak boleh? Dia tak boleh jawab, terduduk dia, tak boleh jawab.

Saya boleh tambah lagi, kita boleh berunding dengan Umno, berunding dengan siapa dia sahaja untuk melaksanakan Islam, sedangkan dia berunding dengan Amerika pun dia berunding, dengan negara asing pun dia berunding, dengan kedutaan asing pun dia berunding, berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia. Kita tak sampai tangga itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita.

Kita berunding dengan Umno sahaja, sama-sama Melayu Islam, itu. Salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa, bincang tentang politik Malaysia. Politik Malaysia biar orang Malaysia lah yang buat perubahan tak perlu jemput Amerika mari, tak perlu jemput negara asing mari, ini. Biar saya dedah di sini, kalau ada pemberita, siar, biar orang tahu.

Kita berunding dengan Umno tak boleh, dia berunding dengan Amerika boleh. Nak jemput Amerika campur tangan dalam negara kita, ini tak apa. Ini apa ini?

Akhirnya 355 bersetuju, apa 355 ini? 355 ini untuk membolehkan Mahkamah Syariah diangkat taraf dan darjat. Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa boleh hukum orang 356, 356, 3 tahun penjara, 5000 ringgit, 6 kali sebatan rotan. Ini bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sedangkan bidang kuasa di Mahkamah Syariah yang paling tinggi, Mahkamah Tinggi Syariah, itu bidang kuasa dia. Sedangkan bidang kuasa Mahkamah Majistret di daerah boleh denda 10 000, boleh jel (penjara) lebih banyak daripada itu lagi. Mahkamah Syariah lebih hina daripada Mahkamah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah lebih hina daripada Mahkamah Daerah.

Jadi, 355 ini adalah satu Usul supaya mengangkatkan taraf Mahkamah Syariah supaya Mahkamah Syariah boleh menghukum, sebatan sebanyak 100 kali mengikut hukum Islam, bukan mengikut undang-undang Sivil. Denda tak boleh lebih daripada 100 000, penjara tak boleh lebih daripada 30 tahun. Kita angkatkan taraf Mahkamah Syariah, bukan sampai denda 100 000, tapi tak boleh lebih daripada 100 000. Ini sahaja.

Adapun bagaimana nak hukum mengikut Hudud ke, Takzir ke, Qisas, ini bidang kuasa Negeri masing-masing. Kerajaan Pusat hanya lah meminda perlembagaan untuk mengangkat bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ada kalangan yang Islam mengatakan mana dia Nas, mana dia Nas daripada hukum Islam? Nasnya, Saidina Uthman berkata,

“Allah Taala mengizinkan kuasa pemerintah untuk membuat keputusan apa yang Quran tidak membuat keputusan.”

Ini ucapan Saidin Uthman. Saidina Uthman sahabat khalifah yang ketiga yang Nabi kata adakah aku tidak malu orang yang dimalu oleh malaikat. Kita jangan kan malaikat, Syaitan pun tak malu. Ini kata-kata Saidina Uthman.

Oleh sebab kuasa pemerintah sangat perlu untuk membolehkan hukum Quran dilaksanakan apa yang tak ada. Di sinilah kita mengadakan perundingan dengan pemerintah. Hasilnya kita dapat kebenaran untuk bawa usul 355 bagi mengangkat kuasa Mahkamah Syariah, tujuannya untuk memperkenalkan hukum syariah kepada orang ramai, khususnya kepada orang Islam, adapun orang bukan Islam terserah kepada dia. Di antaranya hukuman sebat dalam Islam.

Disebut 100 sebatan. Undang-Undang Sivil disebut 6 sebatan. Sebatan rotan undang-undang Sivil ini berbeza dengan sebatan hukum syariah. Undang-Undang Sivil di penjara Pudu, di penjara Kajang, penjara hari ini yang tukang sebatnya dicari yang besar, yang gagah, angkat habis ….. angkat habis ….sehingga menyebat orang yang dihukum itu sampai pecah kulit, sampai dengan isi-isi sekali, pengsan. Ini sebatan undang-undang Sivil, sebatan untuk menyeksa dan mencacatkan.

Adapun sebatan undang-undang Islam untuk mendidik dan memalukan, bukan untuk menyeksa. Di mana, hendaklah alat sebat yang tidak berat dan tidak ringan. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat lebih tinggi daripada kepala, tak boleh angkat lebih tinggi daripada kepala. Pastikan orang yang dihukum itu dalam keadaan sihat, perempuan mengadung tak boleh sehingga dia melahirkan anak, orang sakit tak boleh sehingga dia sihat, ini syarat sebat dalam Islam, tujuannya bukan untuk menyeksa, tetapi untuk memalukan, menginsafkan penjenayah dan menakutkan orang lain. Allah Taala kata,

“Cegahan daripada Allah.” (al-Ma’idah: 38)

Allah Taala akan masukkan rasa hebat undang-undang Islam dalam hati-hati manusia. Ini hukum Islam. Tak sama dengan undang-undang Barat pada hari ini. Pernah berlaku di zaman Nabi SAW, seorang yang kurus melakukan kesalahan zina dihukum 100 sebatan, lalu sahabat kata ya Rasulullah, dia ini kurus sangat, kalau sebat terus kena tulang, kena tulang, menyeksakan dia, Rasulullah kata,

“Kamu ambil seberkas ranting yang jumlahnya 100, pukul sekali sahaja.”

Ini dia. Saya pernah dijemput oleh Nanyang Universiti Singapura. Singapura ini bapa DAP, Singapura ini. Yang memerintah Singapura PAP, PAP, parti PAP yang memerintah Singapura. Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malayisa, PAP tukar jadi DAP, jadi DAP ini anak butir taik DAP, ini. Sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia.

Nanyang Universiti jemput saya pergi Singapura untuk terangkan tentang Syariat Islam, Hudud, bukan 355, Hudud. Saya ceramah kepada Profesor-Profesor Universiti, termasuk Diplomat-Diplomat asing. Setelah ceramah, diberi peluang untuk soal jawab dialog. Bila saya terang apa dia sebat dalam Islam macam saya terang tadi, tak ada soalan, tak ada soalan tentang Hudud, soalan tentang politik antarabangsa ada, lari arah ke lain dah, dia tak boleh nak tanya dah, tak boleh nak tanya.

Oleh sebab itu mengapa dia marah sangat 355 ini? Kita mendapat maklumat, di sana ada ejen-ejen asing kalangan-kalangan asing yang berada di belakang mereka ini, khususnya kalangan missionari yang mengembangkan agama mereka di sini, takut sekiranya Syariat Islam dilaksanakan, orang bukan Islam akan melihat kebaikan hukum Islam ini.

Ini yang sebenarnya. Kita tak paksa dia kerana jadual kesembilan, 355 disebut dalam perlembagaan, undang-undang Mahkamah Syariah hanyalah boleh membicarakan orang Islam sahaja, tak boleh membicarakan orang bukan Islam. Oleh sebab itu tidak ada sebab orang bukan Islam takut dan dia tentang, tak ada sebab, tak ada sebab dia lawan, tak ada sebab, kerana Mahkamah Syariah tak boleh hukum orang bukan Islam.

Pernah berlaku di Kedah, apabila seorang guru menganut ajaran Qadyani dalam tahun 70-an, pejabat agama Kedah tangkap guru ini dibawa ke Mahkamah Syariah, lalu ada lawyer yang bela dia. Oleh sebab mengikut peraturan Malaysia, Qadyani bukan Islam, Qadyani bukan Islam. Maka Mahkamah membuat keputusan, Mahkamah Syariah tak ada kuasa untuk menghukum Qadyani yang bukan Islam. Mahkamah Syariah tak ada kuasa hukum orang bukan Islam.

Di sini ada pula mereka yang berfikir nanti orang Islam kena hukum ramai, orang Islam akan banyak kena hukum, malu lah orang Islam, ini satu hal juga, kepala dia duduk memikir orang Islam ini berebut nak suruh kena hukum, orang Islam berebut curi nak suruh kena hukum, orang Islam berebut kedarah arak nak suruh kena hukum, ini fikiran yang tak betul, otak tak betul.

Apabila syariat Islam dilaksanakan, maka orang Islam tak berani mengerjakan maksiat, orang Islam akan jadi baik, orang Islam jadi contoh kepada umat yang lain, orang Islam jadi model pada umat yang lain. Dengan sendiri jadi begitu. Jangan kita fikir bila syariat Islam dilaksanakan, maka banyak orang Islam kena hukum, tidak. Bila syariat Islam dilaksanakan,

“Cegahan daripada Allah.” (al-Ma’idah: 38)

Sebabnya kerana undang-undang Islam ada roh, ada aspek spiritual, aspek kerohanian yang masuk dalam hati-hati manusia, undang-undang Barat tak masuk dalam hati-hati manusia. Di sini lah kita melihat bagaimana undang-undang hukuman mati kepada pengedar dadah, hukuman mati kepada pengedar dadah, ini hukuman yang lebih ganas daripada 355 lagi.

Hukuman mandatori, pengedar dadah mengikut, dadah mengikut jumlah yang tertentu kena hukum mati, tak ada pilihan lain. Hat ini tak apa pula, tak apa pula. Hukuman ini tidak kena mengena dengan Islam, ini hukuman Barat. Mengikut hukum Islam, pengedar dadah mesti dihukum takzir, bukan mandatori bunuh, mula dengan Takzir dulu, sebatan dulu, baru lah bunuh. Ini hukum Islam.

Mengapa dia tak kaji, tak kaji ini? Dia sanggup terima hukum mandatori, dia sanggup terima hukum gantung, hukum gantung undang-undang Barat gantung ini. Gantung ini bercanggah dengan Islam, hukum gantung kerana Nabi bersabda,

“Bila kamu hukum bunuh, hukum bunuh dengan baik.”

Mesti hukum yang tidak menyakitkan dan menyeksakan orang, ini hukum bunuh dalam Islam. Apa yang berlaku dalam penjara ini, hukum cekik dengan tali hat zaman sebelum Masihi. Hat ini tak apa pula, dia tak bantah. 355 ini dia bantah, mengapa bantah keras sangat sampai berapi? Ini perangai hodoh, perangai nak bermusuh dengan Islam.

Namun demikian, bukan semua orang bukan Islam begitu belaka. Kita mendapat ajakan daripada beberapa kumpulan bukan Islam, minta beri penjelasan, dan kita bersedia untuk beri penjelasan.

Mengapa ditangguh perbahasan? Speaker terus tutup, perbahasan sidang yang akan datang, mengapa? Kerana nak beri peluang kepada orang bukan Islam. Kita bersedia untuk hadir mana-mana majlis yang diatur oleh mereka, kita sanggup pergi, bukan nak ajak debat, bukan nak ajak bahas, nak bersedia untuk memberi penjelasan kepada mereka insya-Allah. Ini orang bukan Islam, hat Islam yang duduk nak lawan ini dia tak boleh buat kira ini, tak boleh buat kira hat Islam ini hat duduk lawan ini tak boleh buat kira, kita dak begitu la, biar dia mampus kering begitu je.

Kita ambil kira hat orang bukan Islam ini sahaja. Saya sebut dalam Parlimen hari itu, kita menganggap orang bukan Islam ini adalah saudara kita dalam masyarakat majmuk, orang Cina, orang India yang bukan Islam adalah saudara kita dalam masyarakat majmuk, sahabat kita masyarakat majmuk. Kita punya sikap yang terbuka untuk pergi bila-bila masa sahaja dia jemput untuk beri penjelasan kepada mereka. Insya-Allah dalam masa 3 bulan ini, kita ada ruang lagi, ada ruang lagi untuk penjelasan.

Dan akhirnya saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua yang berhimpun yang hadir pada malam ini, termasuk yang tak hadir, yang memberi sokongan, sama ada daripada PAS, daripada Umno, daripada NGO, daripada Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, peguam-peguam, hakim-hakim yang membuat kenyataan dalam surat khabar termasuk yang menulis, termasuk yang memberi kerjasama untuk kita angkatkan 355 ini. Mudah-mudahan Allah Taala beri pahala kepada semua, kita harap supaya 355 ini dapat menyatukan umat Islam.

Saya tulis satu artikel yang tak disiarkan lagi, 355 ini laksana satu batu besar yang dihempas dalam lubuk yang tenang, kita ingat lah lubuk itu tak ada buaya, semua ikan, bila terembas batu besar dalam lubuk ini rupanya ada buaya dalam, timbul habis buaya, ular, ikan toman, ikan keli timbul belaka, ini hikmatnya. Jadi hikmatnya kita tahu siapa musuh Islam, siapa kawan orang Islam.

Mudah-mudahan Allah Taala memberkati kita semua, dan Allah Taala terima himpunan kita pada malam ini sebahagian daripada amalan soleh, amal soleh, dan menjadi saksi kepada kita pada hari kiamat kelak, kita telah menegakkan Islam yang diredhai oleh Allah. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

Transkrip penuh ucapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Terengganu Isnin, 10 April 2017 disusun oleh wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim.

- Advertisement -