Api permusuhan Nanyang Siang Pau

- Advertisement -

NANYANG Siang Pau bukan sahaja telah menyakiti hati dan merobek perasaan ahli-ahli PAS tetapi sedang menyiram minyak terhadap bara permusuhan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam apabila dengan berani menyiarkan karikatur yang menghina Presiden PAS dan Speaker Parlimen dalam akhbarnya, baru-baru ini.

- Advertisement -

Tindakan ini merupakan suatu sikap yang sangat biadab dan boleh diistilahkan sebagai provokasi jahat yang boleh menimbulkan ketegangan dan mungkin boleh mengakibatkan kejadian yang lebih buruk jika ianya terus dibiarkan. Walaupun karikatur tersebut sudah ditarik balik dan permohonan maaf telah dibuat tetapi kesan terhadap penyiaran tersebut telah membekas dan sakitnya masih terasa.

Perbezaan politik haruslah diurus dengan baik dan janganlah ianya diperjudikan dengan tindakan dan cubaan yang boleh mengancam kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Tindakan Nanyang Siang Pau harus dilihat dari kaca mata keselamatan oleh rakyat dan pihak berkuasa. Mereka bukan sahaja dari etikanya telah bersikap biadab bahkan telah tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi asas kepada penubuhan negara Malaysia.

Apakah yang Nanyang Siang Pau mahu tunjukkan kepada rakyat dengan menyiarkan karikatur tersebut? Apakah mereka mahu jika seluruh umat Islam di Malaysia bangun dan melakukan tindakan balas terhadap sikap biadab mereka?

Inikah budaya dan etika kewartawanan yang mereka sedang tonjolkan kepada masyarakat dan anak muda yang bersemangat untuk mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik dan saling menghormati?

Nampaknya Nanyang Siang Pau sedang merintis jalan mati kepada budaya kewartawanan yang beretika bahkan mereka sedang membawa pembaca dan anak muda Malaysia ke arah budaya pemikiran melampau.

Mereka sengaja mengabaikan sensitiviti umat Islam dengan tindakan tersebut bahkan sikap mereka itu jelas berasaskan dari ketidakpuasan hati mereka terhadap pembentangan RUU 355 oleh Presiden PAS dan laluan yang diberikan oleh speaker parlimen terhadap pembentangan tersebut.

Malaysia yang harmoni dan saling menghormati yang diasaskan oleh pemimpin kita terdahulu serta undang-undang yang termaktup dalam perlembagaan Malaysia telah dilacurkan oleh ahli politik dan wartawan yang yang mempunyai agenda politik sempit dan perkauman.

Inilah kebimbangan yang sering difikirkan oleh para pemimpin PAS. Keterujaan melampau untuk menguasai Putrajaya sehingga mengabaikan asas kepada keharmonian masyarakat. Umpama lari dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Inilah wajah yang dilukiskan oleh ahli politik cauvinis yang mahu mempertahankan hak mereka tetapi sanggup memperkosa hak orang lain. Mereka berpolitik dan menggunakan hujah undang-undang dan perlembagaan bagi mempertahankan keinginan masyarakat mereka dalam masa yang sama undang-undang yang menjadi rujukan mereka menjadi tidak sah kepada umat Islam yang ingin mempertahankan kesucian agama Islam dan penganutnya.

Umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya harus sedar sebelum terlambat dari permainan kotor dan politik jijik Nanyang Siang Pau dan ahli-ahli politik yang menaunginya.

Kita mengimpikan sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan harmoni selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang. Menggantikan kerajaan dan sistem yang lemah tetapi bukanlah menyerahkannya ke tangan politikus yang cauvinis yang akan membawa negara dalam situasi yang lebih buruk sebaliknya negara ini harus dipimpin oleh mereka yang amanah terhadap umat Islam dan rakyat bukan Islam.

Hentikan sokongan anda terhadap politikus yang bersikap perkauman. Hentikan juga sokongan anda terhadap politikus yang mengkhianati amanah dalam kepimpinan.

Abdul Hisham Othman
Ketua Penerangan PAS Sabah
11 April 2017 – HARAKAHDAILY 11/4/2017

- Advertisement -