Tiada lagi lokasi baru H5N1

- Advertisement -

SEHINGGA hari ini tiada lagi lokasi baru yang disahkan positif dengan wabak H5N1 sejak melanda Kelantan pada Mac lepas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian. Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata usaha pencegahan masih lagi diteruskan.

Kata beliau kerajaan negeri dimaklumkan kes terakhir berlaku 11 hari lalu.

“Wabak H5N1 boleh diisytiharkan bebas selepas tempoh 42 hari. Tarikh itu bermula pada kes terakhir yang dilaporkan pihak berkuasa pada 29 Mac lalu,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan negeri masih lagi dalam usaha mencegah wabak H5N1 sebelum membayar pampasan kepada penduduk terlibat.

Menurutnya tumpuan sekarang kepada usaha mengekang wabak tersebut daripada terus merebak.

“Apabila tidak ada lagi kes baru, kita akan segera beri pampasan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai maklumat yang lengkap mengenai ternakan yang dilupuskan.

“Jabatan sudah mempunyai angka yang tepat untuk membayar ganti rugi, jadi usaha ini bukan satu kesukaran,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain sebanyak 36 lokasi disahkan positif virus itu terhadap haiwan ternakan dan unggas.

Sebanyak 15 lokasi di Kota Bharu, Pasir Mas (6), Tumpat (5), Tanah Merah (1), Bachok (6) dan Pasir Puteh (3) melibatkan 51 premis.

Sebanyak 56,953 ekor ternakan dan 17,531 telur telah dimusnahkan di lokasi terlibat. Manakala jumlah sampel yang diambil sebanyak 3,792 daripada 647 pemilik. – HARAKAHDAILY 10/4/2017

- Advertisement -