Rakyat Kelantan tolak pindaan Akta 164

- Advertisement -

RAKYAT Kelantan sepakat menolak Akta 164 yang dibentang kerajaan pada persidangan parlimen minggu lepas.

- Advertisement -

Rang Undang-Undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dibentang bagi bacaan kedua di Parlimen baru-baru ini, disifatkan pelbagai pihak merugikan umat Islam.

Orang ramai yang hadir pada Forum Perdana Hal Ehwal Islam ‘RUU 164 lawan RUU 355’ di Balai Islam Kota Bharu malam tadi senada menolak pindaan Akta 164 dan menyokong pindaan Akta 355.

Presiden Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata RUU tersebut merupakan sebahagian daripada perjuangan Gerakan Pluralisme Agama (IFC) Malaysia.

Katanya, terdapat 14 tuntutan dibuat IFC termasuk mahu menggunakan kalimah suci bagi orang Islam termasuk Allah dan Kaabah serta tidak mahu Islam menjadi agama pilihan utama di Malaysia.

“IFC juga tidak mahu orang Islam yang membayar zakat boleh dikecualikan potongan cukai pendapatan.

“Inilah perjuangan mereka. Sedangkan pindaan Akta 164 adalah bertentangan dengan Islam, perlembagaan negara dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya sebagai panelis pada forum tersebut.

Turut bertindak sebagai panelis anggota Exco kerajaan negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, manakala peguam Nik Bahrum Nik Abdullah bertindak sebagai moderator.

Forum perdana tersebut dianjurkan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK), Perkim Kelantan dan Ilmuan Islam Kelantan.

Hadir sama Pengerusi Ilmuan Islam Kelantan Datuk Hassan Mohamood, anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pada persidangan parlimen minggu lepas kerajaan membentang bacaan kali kedua Akta 164 yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdasarkan kepentingan negara.

Bagaimanapun berikutan bantahan pelbagai pihak kerajaan kemudian menangguh pindaan akta terbabit.

Dr Fadzli juga melahirkan rasa hairan bagaimana kerajaan boleh bersetuju untuk membawa pindaan akta tersebut baru-baru ini.

“Kalau kita bersetuju dengan tuntutan pihak berkenaan ada 14 lagi tuntutan yang diperjuangkan mereka. PAS dengan tegas menentang pindaan akta tersebut kerana ia merugikan umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2017

- Advertisement -