PAS kecam letupan gereja Koptik di Mesir

- Advertisement -

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

- Advertisement -

Mutakhir ini dunia dikejutkan dengan banyak siri letupan dan pengeboman yang berlaku di seluruh dunia yang memakan korban ratusan nyawa orang awam yang tidak berdosa. Kejadian terbaru semalam, letupan di dua buah gereja Koptik di Bandar Tanta dan Iskandariah, Mesir yang mengorbankan lebih 30 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.

PAS mengecam tragedi letupan bom ini yang mensasarkan rumah ibadah agama Kristian dan orang awam yang tidak berdosa sebagai sasaran serangan. PAS menyifatkan tindakan ini sebagai kejam, tidak bertamadun dan perlu dihentikan dengan segera. PAS melihat tindakan ini sebagai gerakan terancang untuk mewujudkan ketegangan agama antara Islam dan Kristian di Mesir yang telah hidup bersama secara aman damai selama ribuan tahun.

PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi kejam ini. PAS juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Mesir di atas tragedi berdarah ini. PAS juga berharap agar kejadian ini tidak menggugat keharmonian hidup antara masyarakat berbilang agama di Mesir yang warisi sebelum ini.

Selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian, PAS secara konsisten mengecam dan mengutuk sebarang tindakan pembunuhan dan kekejaman yang melibatkan orang awam yang tidak berdosa atas apa jua nama dan untuk apa tujuan sekalipun. PAS menggesa pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan untuk dikenakan tindakan seadilnya.

Firman Allah SWT:
 
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: “”Tuhan kami hanyalah Allah””. Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Haj : 40)

Di sinilah jaminan keadilan Islam untuk memelihara dan melarang daripada meroboh dan merosakkan binaan gereja rumah-rumah ibadat orang bukan Islam di dalam pemerintahan Islam.

PAS menggesa semua pihak untuk berfikir dan bertindak secara matang dalam apa jua tindakan agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak bertamadun ini berulang.

PAS juga menggesa semua pihak untuk tidak menuding jari kepada mana-mana pihak terutama sekali yang ada kaitan dengan Islam sebagai dalang tragedi ini sebelum bukti kukuh diperoleh.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Rejab 1438H / 10 April 2017M – HARAKAHDAILY 10/4/2017

- Advertisement -