Membeli pesawat pejuang Perancis

- Advertisement -

BELUM dimuktamatkan tetapi ia sudah dibincangkan oleh Perdana Menteri Najib dengan Presiden Perancis yang melawat Malaysia baru-baru ini iaitu untuk membeli beberapa buah pesawat pejuang Perancis bagi melengkapkan sistem pertahanan kita.
      
Tidak siapa membantah peri perlunya negara memiliki sistem pertahanan yang lengkap dan sempurna. Semua tahu betapa Singapura yang secuit sekangkang kera itu pun telah lama memiliki sistem pertahanan yang kuat, maka kita juga perlu kepada kekuatan yang sepadan, bukan untuk berperang dengan sesiapa tetapi sebuah negara yang berdaulat perlu ada kelengkapan yang secukupnya.
       
Tetapi apa yang menarik bagi semua bila membeli senjata yang lengkap dan tentunya mahal pula dalam suasana fulus negara tidaklah kukuh sangat? Tidak dinafikan keperluan kelengkapan pertahanan yang lengkap, tetapi kita pernah ada hikayat pembelian kapal selam dari Perancis yang luar biasa yang diklasifikasi sebagai skandal negara yang terbesar.
       
Skandal itu mengaitkan pula dengan satu tambahan skandal lagi yang gemanya sama hebat iaitu hikayat pembunuhan dan peletupan mayat nona Altantuya, pengunjung dari Mongolia. Kedua-dua hikayat skandal itu masih tergantung-gantung. Semuanya tidak pernah diselesaikan tetapi statusnya adalah ibarat buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.
      
Hapaknya tidak sekadar menyelubung Malaysia, bahkan Perancis sebagai pengeluar kapal selam itu menyedut sama bau busuknya dan jerebunya sampai ke udara Australia. Kes yang melibatkan Perancis juga masih tergantung, dan Australia yang dimasuki oleh seorang yang dijatuhkan hukuman bunuh kerana hikayat yang membabitkan Altantuya seperti tikus masuk perangkap nampaknya terus berada di perangkap tikus.  
      
Semuanya gara-gara hikayat membeli senjata perang dari Perancis.
       
Semua skandal itu jadi buluh kasap justeru ia berlaku di Malaysia, tanahairku, bukan hikayat dari Korea Selatan. Kalau di Korea Selatan, nescaya tahulah kita Rabu Khamisnya!

- Advertisement -

Watak yang dilibatkan dalam hikayat itu ialah Perdana Menteri Najib sendiri semasa sebelum jadi Perdana Menteri. Dan sekarang watak yang sama membincangkan pembelian senjata dengan Perancis juga.
      
Presdien Perancis sekarang bukan yang ada semasa hikayat itu berlaku dulu. Tetapi tentulah Presiden sekarang ada maklumat tentangnya. Dia sekarang berbincang dan berurus dengan watak hikayat yang sama.
       
Orang yang ingat akan hikayat itu tentulah tidak menerima pembelian pesawat pejuang itu sebagai keperluan pertahanan saja. Tetapi apakah ia satu hikayat lagi sebagai satu siri dari hikayat dulu.
      
Hikayat dulu disebut sebagai skandal kerana kapal selam itu dibeli secara teknikalnya 500 juta lebih mahal dari harga sepatutnya. Mungkin harga sepatut yang dipersetujui sudah mahal, tetapi dengan 500 juta baksis untuk orang tengah menyebabkan Malaysia dipercayai hangus 500 juta.
      
Maka membeli kelengkapan pertahanan bukan saja justeru pertahanan itu sendiri, bahkan berkemungkinan membeli apa-apa yang mahal jadi satu kaedah orang mencari harta Qarun atas angin.
      
Bagi saudagar mengejar keuntungan besar secara atas angin itu adalah alamnya, tetapi kaki skandal memperniagakan kerajaan dan negara adalah kerja-kerja keji.
       
Mereka yang nipis amanahnya mencari kekurangan pada negara, bukan sekadar bagi memenuhi keperluan, tetapi bagaimana hendak meraih habuan yang sebanyak-banyak.
      
Maka bagi sebuah pemerintahan yang beramanah nipis, sekalipun mengisi keperluan amat mendesak dan justeru amanah yang sejujur-jujurnya, tetapi orang terfikir kerajaan diniagakan. Itulah imej yang semua terpaksa terima.
      

- Advertisement -