Kemudahan pengunjung Bukit Keluang terabai

bk2
- Advertisement -

KEGAGALAN pihak berwajib menyelenggara kemudahan serta insfraktuktur di Pantai Peranginan Bukit Keluang, Besut amat mendukacitakan, terutamanya pada tahun ini yang telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Melawat Terengganu’.

- Advertisement -

Jambatan kayu melintasi anak sungai di kawasan tumpuan pelancong itu, dalam keadaan uzur dengan pagar runtuh dan lantai yang rosak, tidak dibaiki serta laluan ke jejantas bagi menyeberangi laluan air itu mendap.

Seorang pengunjung tetap pantai itu, Siti Nurul Jannah Mohd Daud, 26, berkata masalah itu telah berlaku sejak sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan baik pulih oleh pihak kerajaan.

“Masalah lama dah berlaku tapi pihak bertanggungjawab tak ambil kisah pasal benda ini. Jambatan kayu yang tidak berpagar dengan lantainya patah tidak dibaiki.

“Dan sudah tentu keadaan ini boleh membahayakan para pengunjung yang lalu ikut sini,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau bimbang, ia akan menyebabkan kemalangan kerana laluan tersebut sering digunakan oleh orang ramai.

“Saya harap sangatlah pihak yang bertanggungjawab tolonglah baiki segera,” ujarnya.

Wan Nur Shafira Wan Ahmad, 25, kesal di atas kegagalan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pengunjung ke pantai peranginan itu.

“Jangan biarkan keadaan ini berlarutan tanpa pembaikan kerana ia boleh membahayakan pengunjung-pengunjung di sini terutamanya kanak-kanak,” ujarnya.

PAS Kawasan Besut turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera membaik pulih infrastruktur yang rosak dan terbiar itu.

Yang Dipertuanya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, kerosakan tersebut agak lama namun dibiarkan begitu sahaja.

“Pihak yang berkenaan diminta segera menjalankan pemantauan berkaitan infrastruktur di kawasan rekreasi ini ekoran banyak kerosakan yang berlaku boleh mengundang persoalan keselamatan di kalangan pengunjung.

“Sebagai sebuah pusat peranginan yang agak terkenal, situasi seperti ini sangat memalukan”, katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus lebih prihatin dalam mengurus tadbir prasarana yang ada agar rakyat tempatan dan pengunjung luar merasa selamat.

“Dalam masa yang sama dapat menghayati keindahan serta ketenangan alam anugerah Allah kepada kita,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga harus memandang serius soal gejala sosial yang boleh mengundang perlakuan maksiat dan tingkah laku yang mengaibkan yang berlaku di kawasan itu.

- Advertisement -